Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Lagi Srikandi, AJK PPBM keluar parti

3 DIS: Pergolakan yang berlaku dalam PPBM seolah-olah tiada kesudahan dan terus berlarutan apabila salah seorang daripada Exco Srikandinya, Zuraini Kamal hari ini mengumumkan perletakan jawatan sekali gus keluar daripada parti.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Kuala Kedah berkata, tindakan itu dibuat ekoran terlalu banyak isu dan polemik yang gagal diuruskan dengan baik selain tidak ditangani secara serius oleh pucuk pimpinan.

Selain Zuraini, tindakannya itu turut disusuli oleh empat lagi individu iaitu dua Ahli Jawatankuasa (AJK) Srikandi PPBM negeri, Halimaton Saadiah Shah Mat (Ketua Srikandi PPBM Pendang) dan Rukiza Abu Bakar (Ketua Srikandi PPBM Pokok Sena) serta dua AJK Srikandi Bahagian Kuala Kedah, Sopi Aziz dan Fatimah Ahmad.

“Antara isu yang gagal ditangani adalah budaya fitnah dan tidak boleh ditegur. Terus terang saya katakan, ada ramai individu yang diketepikan atau ditukar jawatannya kerana kononnya ada salah laku namun malangnya orang berkenaan tidak diberi peluang untuk membela diri.

“Kalau cuba memberi pandangan, nanti akan adalah orang tertentu yang dipecat di peringkat bahagian dengan berselindung di sebalik perkataan ‘rombakan’. Sehinggakan pada satu ketika, terdapat dua individu berada di kedudukan sama dan itu sudah tentu membawa perpecahan di peringkat bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kedah hari ini.

Tambahnya, perkara itu pernah beberapa kali disuarakan kepada kepemimpinan parti termasuk di peringkat tertinggi namun tidak langsung dipedulikan.

“Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Selepas ini sudah tentu ada yang akan menggelarkan kami sebagai pengkhianat dan pemakan dedak tetapi kami berpegang kepada prinsip berani kerana benar.

“Bukan semua benda boleh dibeli. Untuk pengetahuan, ramai dalam kalangan rakan-rakan seperjuangan yang telah meletak jawatan dan meninggalkan parti namun mereka tidak mahu untuk mendedahkannya secara terbuka atas sebab-sebab tertentu termasuk bimbang dilabelkan dengan gelaran bukan-bukan,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 December 2017 6:19 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: