Kategori Ekonomi

Lanjut cukai hab prinsipal galakkan pelaburan di Malaysia

30 OKT: Langkah kerajaan melanjutkan galakan cukai hab prinsipal sehingga tahun 2020 dilihat mampu menarik lebih banyak syarikat asing untuk melabur ke Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, sejak diperkenalkan pada Mei 2015, insentif itu sudah berjaya menarik 27 syarikat asing melabur ke Malaysia.

“Dengan melanjutkan insentif yang sangat penting ini, kami percaya lebih banyak syarikat asing akan memilih Malaysia sebagai hab rantau global mereka,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, Isnin.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 yang mengumumkan lanjutan galakan cukai hab prinsipal sehingga 31 Disember 2020 bagi terus meletakkan Malaysia sebagai lokasi pelaburan langsung asing.

Persidangan Rantaian Bekalan Kebangsaan MIDA berjaya menarik lebih 1,000 peserta terdiri daripada syarikat multinasional (MNC) dan syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana.

Persidangan selama sehari itu menumpukan kepada topik antaranya membabitkan peluang dan trend di dalam Teknologi Perubatan dan Sains Hayat, Pemesinan, Industri Halal dan Industri 4.0.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan terkini Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Mustapa berkata perbincangannya masih diteruskan dalam kalangan wakil ketua perunding membabitkan 11 negara ahli perjanjian itu.

Katanya, rundingan itu kini sedang diadakan di Tokyo, Jepun dan terdapat beberapa perkara di dalam perjanjian itu yang dijangka boleh diguna pakai negara anggota TPPA.

“Rundingan ini bertujuan memberi cadangan konkrit kepada menteri-menteri bagi mempertimbangkan isu TPPA semasa berlangsungnya Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Vietnam, dua minggu lagi.

“Pada masa ini, Malaysia bersikap terbuka dan bekerjasama rapat dengan semua ahli negara TPPA. Bagaimanapun, kami masih berharap suatu hari nanti Amerika Syarikat dapat menjadi sebahagian daripada ahlinya,” katanya.

Sementara itu, Azman, berkata persidangan itu diharapkan membantu lebih banyak penggiat tempatan menjalin rangkaian, berkongsi pandangan dan membina keupayaan untuk berintegrasi dengan rantaian bekalan MNC.

“MNC memainkan peranan penting dalam membangunkan syarikat tempatan kita. Selain penyumberan luar secara langsung, MNC juga menyokong perkembangan lanjut ekosistem industri tempatan dengan bekerjasama bersama institusi akademik dan pusat latihan tempatan.

“MNC juga membantu syarikat tempatan berkembang dengan cara penyenaraian di pasaran awam. Sebagai contoh, kehadiran MNC di sektor elektrikal dan elektronik sudah menyaksikan 41 syarikat tempatan disenaraikan di Bursa Malaysia dengan pemodalan pasaran bernilai lebih RM12 bilion sehingga Februari tahun ini,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 October 2017 2:55 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: