Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Larangan lawat ladang unta sejak Julai 2015

3 JAN: Larangan terhadap jemaah haji dan umrah negara untuk melawat ladang unta di Arab Saudi, dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak Julai 2015.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah, berkata larangan itu dikeluarkan susulan penularan wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV)

Katanya, larangan itu kekal kepada semua jemaah Malaysia ketika ini, selagi virus itu tidak dapat dikawal sepenuhnya.

“Jemaah haji dan umrah serta syarikat umrah persendirian perlu mematuhi larangan tidak melawat ladang unta bagi mengelak jemaah haji dan umrah dijangkiti wabak MERS-CoV.

“TH dan KKM sentiasa bekerjasama mempertingkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan MERS-CoV kepada bakal jemaah haji serta langkah pencegahan ketika kursus haji di seluruh negara.

“TH juga memastikan tiada program ziarah ke ladang unta di Tanah Suci sejak larangan itu dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas desakan Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, yang mahu kerajaan mengeluarkan larangan kepada syarikat pengendali pakej umrah supaya tidak menganjurkan lawatan ke Hudaibiyah.

Ia susulan seorang rakyat Malaysia berusia 55 tahun yang baru pulang mengerjakan umrah, disahkan dijangkiti MERS-CoV, seperti dilaporkan media Isnin lalu.

Pada 28 Julai 2015, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan menasihatkan jemaah haji untuk tidak melawat ladang unta dan meminum susu haiwan itu bagi mengelak dijangkiti MERS-CoV.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 January 2018 5:11 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: