Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Lawatan ke Bahrain capai hasil positif

17 DIS: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatan rasmi beliau ke Bahrain mulai Jumaat lalu, membawa hasil positif dan bermakna dalam hubungan Kuala Lumpur – Manama.

Perdana Menteri berkata, layanan yang diberi negara ini kepada beliau dan delegasinya adalah luar biasa dan mencerminkan hasrat Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa untuk merapatkan lagi hubungan sedia ada, bukan sahaja antara kerajaan dengan kerajaan, tetapi juga secara peribadi.

Hubungan erat antara kedua-dua pemimpin dapat disaksikan dengan ketara apabila Raja Hamad sendiri menyambut Najib ketika perdana menteri keluar daripada kereta untuk menghadap baginda di Istana Shaikh Hamad, pada Jumaat.

Raja Hamad dilihat memegang tangan Najib ketika menyambut beliau ke majlis makan malam di istana itu selepas menyampaikan King Hamad (Al Nahda) First Medal, anugerah tertinggi negara ini kepada Perdana Menteri.

Malah, Najib juga diundang sebagai tetamu istimewa – satu-satunya pemimpin asing – diundang ke majlis sambutan Hari Kebangsaan Bahrain di Istana Sakhir, pada Sabtu.

Malah, perbualan antara Najib dan Raja Hamad ketika menikmati hidangan teh pada akhir sambutan itu melebihi masa yang diperuntukkan bagi acara berkenaan.

Ini adalah lawatan rasmi sulung Najib ke Bahrain, manakala Raja Hamad pula melakukan lawatan negara baginda untuk julung kalinya ke Malaysia pada akhir April tahun ini.

“Walaupun Bahrain sebuah negara kecil, setelah melawat negara ini, saya dapati hubungan ini mempunyai potensi besar dengan Bahrain sebagai satu daripada pintu masuk ke pasaran GCC (Majlis Kerjasama Teluk),” kata Perdana Menteri.

Najib berkata, Malaysia dan Bahrain boleh bekerjasama dalam sektor kewangan Islam dengan saling melengkapi satu sama lain, di sebalik kedudukan Kuala Lumpur sebagai satu daripada pusat kewangan Islam terkemuka dunia.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata Bank Negara Malaysia akan diminta meneroka dengan lebih mendalam peluang itu.

Najib berkata Kuala Lumpur juga sedia bekerjasama dengan Manama dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan meminta dana pelaburan strategik negara , Khazanah Nasional Bhd untuk membincangkan perkara itu dengan pegawai-pegawai Bahrain.

Perdana Menteri berkata pegawai Malaysia juga boleh boleh berhubung dengan pegawai Bahrain untuk rujukan mengenai perkembangan geopolitik di Timur Tengah.

Malaysia, juga kata beliau sedia bekerjasama dengan Bahrain di dalam pembangunan digital ekonomi untuk kebaikan mereka.

Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadualkan berlepas dari Manama ke Colombo, tengah malam Sabtu (Ahad di Malaysia) untuk lawatan kerja.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 December 2017 9:05 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: