Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Lawatan mesra Zahid ke Ketereh bersama OPT

16 JULAI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menjayakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di YKK Kala, Melor pada 21 Julai, Jumaat ini.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh, Ahmad Termizi Musa, memaklumkan lebih 10,000 orang dijangka menghadiri majlis bersama perwakilan Ketereh sempena lawatan Zahid itu yang berlandaskan Mesra Bersama OPT (Orang Parlimen Terre).

“Ketibaan Datuk Seri Zahid akan disambut oleh semua pemimpin UMNO Kelantan, diketuai Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad.

“Malah TPM akan disambut dan diiringi 1,000 anak muda yang berkonvoi dengan membawa bendera dan panji-panji bersama 30 motosikal berkuasa tinggi dan 500 motosikal,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, Zahid yang juga Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO akan menyampaikan pidato ‘Perdana TPM’ pada majlis yang dijangka bermula 8.30 pagi.

Tambahnya, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, akan turut menyampaikan pidato khas.

Zahid akan diarak masuk ke kompleks YKK sebagai Pahlawan Melayu  dan didahului pahlawan membawa senaskah al-Quran 30 juzuk tulisan tangan, keris Melayu lama, 100 orang pembawa pulut semangat berserta bacaan selawat lirik Madinah.

Menurut Termizi lagi, pada majlis itu Zahid akan menyampaikan anugerah penghargaan kepada 100 tokoh daripada 25 kategori yang diraikan bersama.

“Datuk Seri Zahid akan menyampaikan Anugerah Dan Penghargaan kepada 25 kategori tokoh parlimen Ketereh  termasuk tokoh pendidikan, agama, ushawan, budaya, perajurit, masyarakat Melayu Thailand dan Cina serta tokoh perubatan traditional.

“Anugerah ini berupa penghargaan yang julung kali diadakan,” katanya.

Zahid juga dijadualkan bakal melancarkan gimik Ketereh Koridor Ilmu dan sebanyak 5,000 cenderahati disediakan, ujarnya lagi.

Zahid kemudiannya akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Bukit Marak, selepas berehat di kediaman Tan Sri Annuar, Seri Puri.

“TPM kemudian akan menghadiri majlis hari raya bersama ketua-ketua jabatan dan pemimpin di pejabat Badan Perhubungan UMNO Kelantan sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat dijemput datang beramai-ramai meraikan lawatan TPM  ke Kelantan ini.

Ia sebagai menzahirkan tanda sokongan dan kebersamaan kepada kepimpinan negara.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 July 2017 6:40 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: