Kategori Ekonomi

LCT tersenarai di Bursa Malaysia

11 JULAI: Lotte Chemical Titan (LCT) Holding Bhd tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia hari ini dengan harga pembukaan RM6.50, tidak berubah daripada harga yang ditetapkan dalam tawaran awam permulaan (IPO), sebelum ini.

Pada jam 9.04 pagi, sejumlah 14 juta saham diniagakan pada harga antara RM6.47 hingga RM6.53.

Pengeluar olefin dan polyolefin bersepadu terbesar Malaysia itu dijangka meningkatkan permodalan pasaran hingga RM15 bilion menerusi harga IPO RM6.50 sesaham.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LCT, Dr Lee Dong Woo, berkata penyenaraian itu adalah terbesar di negara ini sejak 2012.

“Sokongan daripada pelabur tempatan dan global akan memastikan asas pemegang saham yang kukuh kepada syarikat.

“Sentimen positif dalam kalangan pelabur juga membuktikan keyakinan mereka terhadap LCT, ” katanya pada penyenaraian sulung LCT di Bursa Malaysia, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Atan; Presiden dan Ketua Unit Perniagaan Kimia Lotte Group, Huh Soo Young dan Pengerusi LCT, Tan Sri Abdul Rahman Mamat.

LCT baru-baru ini menetapkan harga IPO pada RM6.50 seunit berbanding RM8 sesaham sebelumnya.

LCT berkata, syarikat akan membayar balik RM1.50 sesaham kepada pemegang saham yang membayar amaun penuh di bawah tawaran runcit awal.

IPO itu membabitkan 524.21 juta saham IPO kepada rakyat Malaysia dan institusi asing serta pelabur terpilih.

IPO itu juga termasuk tawaran runcit 49.36 juta saham yang diperuntukkan bagi permohonan oleh orang awam dan 6.41 juta saham bagi para pengarah LCT.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 July 2017 11:36 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: