Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Lebih 10 juta tan bauksit akan disita SPRM

13 OGOS:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyita keseluruhan simpanan stok (stockpile) bauksit di Pahang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 33 Akta SPRM 2009 bagi menghalang bahan tersebut dibawa keluar dari tempat penyimpanannya untuk tujuan perniagaan atau apa-apa tujuan lain.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak melanggar arahan notis penyitaan berkenaan maka ia telah melakukan kesalahan di bawah akta tersebut dan boleh dihukum mengikut Seksyen 69 akta yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, tindakan berkenaan meliputi seluruh simpanan stok yang berada di tanah-tanah kerajaan dan persendirian dalam kawasan yang telah dikenalpasti di negeri itu.

Sehingga kini, dianggar terdapat lebih 10 juta tan metrik bauksit yang telah dilombong serta disimpan di stockpile di beberapa lokasi di Pahang.

Dalam pada itu, SPRM juga telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bagi mencadangkan pihak kementerian terbabit mengkaji semula pengeluaran Permit Kelulusan (AP) kepada pengusaha lombong bauksit serta membatalkan kesemua AP yang telah dikeluarkan sebelum ini.

“Penyitaan ini perlu dilakukan bagi membantu SPRM menjalankan siasatan terhadap isu perlombongan haram bauksit ini.

“SPRM juga akan memantau sebarang eksport bauksit di Pelabuhan Kuantan,” katanya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 13 August 2017 12:30 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]