Kategori Ekonomi

Lembaga Zakat Selangor terima zakat dari TH RM17.1j

22 MAC: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membayar zakat berjumlah RM17,132,475.58 bagi tahun kewangan berakhir 2017 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu majlis ringkas di Istana Alam Shah, Klang, Selangor.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan untuk menerima pembayaran zakat ini yang dipersembahkan oleh Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pembayaran zakat bagi negeri Selangor ini mencatatkan peningkatan sebanyak 13.23% berbanding RM15,130,379.28 (2016).

“TH sentiasa mengutamakan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat bagi meningkatkan kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf.

“Pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat di seluruh negara dilakukan agar wang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah kemampanan program-program zakat yang mensasarkan golongan asnaf miskin yang layak dan dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat di setiap negeri,” katanya selepas penyerahan tersebut.

Tambahnya jumlah keseluruhan bayaran zakat TH 2017 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 12.14% (RM67.6 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM60.3 juta (2016).

“Dengan kenaikan ini, TH akan menggiatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui program-program tanggungjawab sosial korporatnya.

“Program-program ini diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah TH Tan Sri Apandi Ali, Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail, Mufti Negeri Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengurus Besar Kanan (Haji) TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, serta pegawai-pegawai LZS dan TH.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 March 2018 12:59 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: