Kategori Berita Utama

LGE enggan mohon maaf sedia berdepan saman Azeez

6 MAC: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng enggan memohon maaf kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ia susulan Guan Eng didakwa memfitnah dan mengaitkan Abdul Azeez dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ketika ditanya sama ada beliau sedia memohon maaf kepada Abdul Azeez, Guan Eng secara sinis menjawab: “Azeez Rahim? Tolonglah.”

Setiausaha Agung DAP itu yang mengakui belum menerima surat tuntutan daripada Abdul Azeez berkata, beliau sedia untuk menghadapi saman daripada Abdul Azeez.

“Saya belum pulang ke Pulau Pinang. Mungkin dia hantar surat tuntutan itu ke pejabat saya. Saya kena periksa dulu.

“Itu hak dia (untuk kemukakan saman). Kami akan hadapi saman itu. Adalah perkara biasa untuk Barisan Nasional (BN) mengemukakan saman kepada kami,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Abdul Azeez memaklumkan beliau sudah menghantar surat tuntutan ke pejabat Guan Eng dan rumahnya petang semalam.

Melalui surat tuntutan berkenaan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu memberi tempoh empat hari kepada Guan Eng untuk memohon maaf secara terbuka, menarik balik kenyataan, berjanji untuk tidak mengulangi dakwaannya dan mendedahkan sumber maklumat mengenai surat peguam yang dihantar oleh Konsortium Zenith atau berdepan tindakan saman.

Semalam, Guan Eng dilaporkan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Abdul Azeez yang didakwa menerima bayaran RM3 juta oleh Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (Konsortium Zenith) untuk khidmat rundingan pengurusan risiko dan pematuhan peraturan bagi projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ahad lalu, Abdul Azeez memaklumkan Konsortium Zenith menyerahkan notis menarik balik tuntutan dan meminta maaf secara terbuka kerana mengaitkannya dengan projek terbabit.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 March 2018 4:08 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: