Kategori Berita Utama

LGE patut minta SPRM siasat bukan cabar Shabuddin bersemuka

18 MAC: Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak sepatutnya mencabar Datuk Shabuddin Yahaya untuk bersemuka dengan beliau di Komtar pada Ahad ini bagi membuktikan apa yang diucapkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor di Parlimen semalam.

Datuk Seri Zainal Abidin Osman

ZAINAL ABIDIN

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, setelah tujuh tahun menjadi Ketua Menteri, Guan Eng sepatutnya sudah lama menggugurkan budaya politik jalanan yang menjadi amalannya sebelum menjadi Ketua Menteri.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan hari ini yang membuat cabaran itu dan mendakwa pembelian banglo oleh beliau daripada ahli perniagaan tersebut dibuat secara sah, “bebas dan rela hati”, pada harga yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak; ‘willing buyer willing seller’ tanpa sebarang paksaan atau tekanan.

“Oleh itu, saya menggesa pihak berwajib untuk melakukan siasatan yang teliti ke atas laporan-laporan yang telah dibuat dan mengambil tindakan selanjutnya jika didapati terdapat bukti salah laku atau penyalahgunaan kuasa dalam pembelian banglo berkenaan oleh Guan Eng,” katanya dalam kenyataan yang diterima BNBBC, my portal.

Katanya, pembelian banglo di kawasan kediaman elit Jalan Pinhorn George Town oleh Guan Eng daripada seorang ahli perniagaan yang didakwa pada harga jauh lebih murah dari harga pasaran memang perlu disiasat segera Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis.

Ini berikutan sejumlah laporan kepada Polis dan SPRM telah dibuat oleh beberapa individu dan NGO hari ini.

Malah kata Zainal Abidin pada 2009 laporan kepada SPRM telah dibuat berhubung banglo ini.

Semalam ,Shabuddin dalam ucapannya di Parlimen bertanyakan hubung kait ahli perniagaan yang menjual banglo berkenaan kepada Guan Eng dengan tender penjualan tanah kerajaan negeri Pulau Pinang di Jalan Zainal Abidin, George Town kepada satu syarikat swasta untuk pembinaan hotel dan hospital pada 2012.

Dalam pada itu kata Zainal Abidin, rakyat Pulau Pinang seharusnya merasa bangga dan gembira setelah tujuh tahun menjadi Ketua Menteri, Guan Eng dapat membeli sebuah banglo pada harga istimewa di negeri itu.

Katanya, adalah tidak wajar seorang Ketua Menteri terus menjadi seorang penyewa rumah sahaja dan tidak memiliki kediaman sendiri.

“Saya turut menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mempertingkatkan usaha mereka dalam menyediakan rumah kediaman yang mampu dimiliki untuk rakyat Pulau Pinang yang belum memiliki rumah sendiri.

“Rumah tanpa kolam renang pun tak apa”, sindirnya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 18 March 2016 3:50 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]