Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

LGE tak perlu buat ‘drama’ selar MCA Johor

14 JAN: Kurang seminggu selepas DAP mendapat restu PH untuk bertanding di Ayer Hitam, kawasan parlimen itu sekali lagi menjadi tumpuan apabila setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng melancarkan serangan pertama.

Walaupun secara tradisinya ditandingi PAS, kerusi Parlimen itu penting bagi DAP, kerana penyandangnya adalah Timbalan Presiden MCA yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong.

Setiausaha Penganjur MCA Johor, Ling Tian Soon dalam satu kenyataannya hari ini menyelar serangan yang dibuat Guan Eng dan melabelkan ketua menteri Pulau Pinang itu sebagai “tidak bertanggungjawab.”

“Tahun lepas sahaja, Ka Siong telah memperuntukkan RM75,000 untuk Sekolah Tinggi Yong Peng. Ini tidak termasuk banyak subsidi yang diberikan oleh Ka Siong untuk pelbagai aktiviti sekolah.

“Di samping itu, Ka Siong juga merupakan penyumbang tetap kepada Persatuan Alumni Sekolah Tinggi Yong Peng dan Persatuan Pelajar Taiwan Yong Peng supaya kedua-dua persatuan ini boleh menganjurkan dan mempromosikan pelbagai program untuk menambah kewangannya,” katanya.

Tian Soon berkata walaupun Guan Eng tidak sedar apa yang berlaku di kawasan Parlimen itu, para pengundi menyedari banyak usaha telah dilakukan dan mendapat sokongan Ka Siong.

Semalam, Guan Eng mendakwa beliau telah melawat Sekolah Tinggi Persendirian Cina Yong Peng di Johor dan terkejut apabila pentadbiran sekolah itu meminta sumbangan beliau dan bukannya daripada Ka Siong.

“Beliau (Ka Siong) adalah Ahli Parlimen dan juga seorang menteri dan timbalan presiden MCA. Peruntukannya sebagai MP sahaja ialah RM500,000.

“Saya tidak tahu berapa banyak peruntukan yang diperolehnya sebagai menteri, tetapi saya percaya ia adalah berpuluh-puluh juta.

“Pemberian RM1 juta kepada sekolah persendirian bukanlah terlalu banyak,” katanya dipetik sebagai berkata.

Komen itu juga diterbitkan di laman Facebooknya.

Sekolah Tinggi Persendirian Yong Peng terletak di kawasan Parlimen Ayer Hitam.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 January 2018 9:15 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: