Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Liow janji perkukuh perpaduan MCA

22 DIS: “Tidak ada lagi puak Liow atau Chua. Kita semua dalam satu pasukan dan kita adalah pasukan MCA,” kata Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengggulung ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung MCA ke-60 MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur, Ahad.

Liow yang baharu sahaja memenangi jawatan Presiden parti itu semalam mahu ahli dan pemimpin MCA disemua peringkat bekerjasama dalam satu keluarga dan beliau berjanji akan mengepalai MCA ke arah itu.

Matlamat pertama Liow Tiong Lai yang mendapat mandat menerajui MCA pada Sabtu ialah memperkukuh dan menyatupadukan semula parti itu.-Foto Hilmi Jaafar.

Matlamat pertama Liow Tiong Lai yang mendapat mandat menerajui MCA pada Sabtu ialah memperkukuh dan menyatupadukan semula parti itu.-Foto Hilmi Jaafar.

Justeru itu, yang juga ahli Parlimen Bentong mahu ahli MCA memberi sedikit masa untuk beliau dan pasukannya menyusun semula parti untuk diberi nafas baru seperti yang diharapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi mencapai matlamat berkenaan, Liow berikrar untuk turun padang lebih kerap dan tidak menunggu ketika hampir pilihan raya untuk menemui akar umbi.

Terdahulu, beberapa perwakilan turut membangkitkan perkara yang sama dalam sesi perbahasan meminta semua ahli MCA supaya tidak mewujudkan jurang di antara peringkat bawahan dengan pemimpin atasan agar hubungan serta komunikasi dalaman parti menjadi lebih erat.

Perwakilan dari Taiping, Ang Sui Eng berkata, perpaduan ini sangat penting kerana kewujudan puak-puak di dalam MCA selama ini telah menjadikan MCA lemah dan berpecah dan jika ianya berpanjangan dikhuatiri parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) itu tidak mampu diselamatkan lagi.

“Kita harapkan, selepas pemilihan ini semua anggota MCA memandang sesama sendiri bagaikan adik-beradik…bukannya pemimpin atasan memandang anggota bawahan sebagai orang bawah dan anggota bawahan memandang pemimpin atasan sebagai ‘bos’ sehingga menyukarkan proses komunikasi,” tegasnya.

Bagi memperkukuhkan semula parti, perwakilan dari Teluk Kemang, Datuk Dr Lim Chin Fui pula menyeru semua anggota MCA memikirkan cara untuk berkhidmat kepada masyarakat Cina dan bukannya berbincang mengenai isu negara seperti ekonomi dan sosial semata-mata.

“Ketika bahas pun tak ada orang (perwakilan) yang cakap bagaimana cara untuk berkhidmat kepada komuniti Cina, asyik bercakap benda sama isu ekonomi, sosial…tetapi cara bagaimana nak menyalurkan khidmat itu tidak disentuh.

“Sekarang ini kita mahu mengembalikan sokongan mereka (masyarakat Cina), jadi selain isu negara, segala isu berkaitan mereka dari hal kecil sehingga besar perlu diberi perhatian,” katanya.

Mengulas apa yang dibangkitkan itu, Liow berjanji untuk mengamalkan pendekatan inklusif dalam menyatukan semula dan memperkukuhkan parti dengan menggesa ahli dan pemimpin segera merapatkan semula barisan

Mesyuarat Agung Tahunan MCA berlansung selama dua hari dan berakhir pada Ahad dihadiri oleh 2,352 daripada 2,384 perwakilan pusat parti.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 December 2013 6:24 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: