Kategori Berita Utama

Loji rawatan kumbahan moden bukti kerajaan prihatin kesejahteraan rakyat

25 MEI: Program Transformasi Negara (NTP) telah menyaksikan sebuah loji rawatan kumbahan canggih dengan menggunakan teknologi hijau telah berjaya dibina di Malaysia, selari dengan hasrat Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa prihatin dengan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, menerusi Program Transformasi Negara, kerajaan sentiasa melaksanakan program pembangunan negara dengan berpaksikan agenda kesejahteraan rakyat.

“Hal ehwal pembangunan negara, tidak hanya meliputi pembangunan makro seperti projek MRT dan LRT, pembinaan sekolah, hospital dan perumahan.

“Justeru kerajaan Kerajaan BN turut mengambil berat perkara pembangunan sehinggalah ke hal ehwal pembentungan,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dan merasmikan Majlis perasmian Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 dan Pembukaan Pantai Eco Park, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Turut hadir sama ialah, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tegasnya, pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 ini, membuktikan komitmen Kerajaan BN bukan hanya political retorik dalam memelihara kesejahteraan rakyat dam alam sekitar semata-mata.

“Loji ini mempunyai kapasiti untuk menampung keperluan sebanyak 1.42 juta penduduk setara (population equivalent) sehingga tahun 2035.

“Malahan, kapasiti yang tinggi ini mampu membantu pencapaian sasaran Kerajaan untuk meningkatkan liputan perkhidmatan pembetungan bagi bandar-bandar utama seluruh negara menjelang tahun 2020,”

Menurut Najib lagi, konsep teknologi hijau loji rawatan kumbahan Pantai 2 ini adalah yang pertama dibina di Malaysia telah merubah landskap kehidupan rakyat di kawasan ini.

“Kalau masih ingat, tidak berapa lama dahulu kawasan ini mempunyai 6 kolam oksidasi (oxidation pond) di atas kawasan seluas 17 hektar. Kolam-kolam ini telah dibina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada penghujung 1970-an.

“Selepas lebih 30 tahun, bilangan penduduk Kuala Lumpur telah bertambah dan kawasan penempatan penduduk juga dibina dengan pesat menghampiri kolam-kolam oksidasi ini.

“Kerajaan Persekutuan yang amat peka dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat setempat, telah memutuskan untuk menutup kolam-kolam ini dan digantikan dengan sebuah loji berteknologi tinggi di bawah tanah,”

Loji rawatan kumbahan Pantai 2 yang merupakan terbesar di Asia Pasifik ini telah mengubah persepsi umum dan menurut Najib,sebelum ini ia adalah tempat yang kotor, berbau dan kurang menyenangkan tapi telah berjaya ditransformasikan menjadi loji rawatan kumbahan yang moden dan bersih.

“Pada hari ini, kita semua berkumpul di atas loji rawatan kumbahan yang moden, bersih dan merupakan salah satu inovasi yang dilaburkan oleh Kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

“Di bahagian atas loji ini pula bakal digunakan sebagai kawasan rekreasi setempat yang kini dinamakan sebagai Pantai Eco Park.

“Apa yang lebih menarik adalah Pantai Eco Park seluas 12 hektar daripada keseluruhan kawasan loji ini telah dilengkapkan dengan kemudahan seperti pusat komuniti, trek joging, gelanggang futsal, padang bola dan gelanggang permainan lain,”jelasnya lagi.

Tambah Najib lagi, loji seumpama ini mampu mengeluarkan produk sampingan daripada proses rawatan kumbahan iaitu di mana biopepejal, bioefluen atau air sisa terawat dan biogas yang boleh diguna semula melalui pendekatan ‘Waste to Wealth’.

“Saya difahamkan bahawa sebahagian air sisa terawatyang dikeluarkan akan digunakan semula bagi tujuan proses rawatan manakala selebihnya untuk mencuci dan membersihkan kawasan serta peralatan di loji ini.

“Biogas pula akan digunakan untuk menjana tenaga elektrik bagi menyokong operasi loji ini. Selain itu, loji ini juga dilengkapkan dengan infrastruktur untuk tujuan menuai air hujan dan tenaga solar,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 May 2017 7:30 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: