Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Lorong motorsikal Lebuhraya Persekutuan dinaiktaraf

15 JUN: Lebih 55,000 penunggang motosikal bakal menikmati perjalanan lebih selesa apabila kerja-kerja menaik taraf lorong motorsikal di Lebuhraya Persekutuan akan bermula bulan ini.

Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek yang menelan belanja RM29 juta ini bukan sahaja akan menaik taraf jalan di kedua-dua arah lorong motosikal, malah bakal menyaksikan dua jejambat (overhead bridge) dibina di lorong motosikal lebuhraya tersebut.

“Projek menaik taraf ini dilakukan untuk kedua-dua arah iaitu dari Klang ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.

“Pembinaan dua jejambat di Jalan 222 dan bersebelahan, kerana di situ selalu berlaku banjir dan kita gantikan dengan jejambat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan upacara pecah tanah projek pembinaan jejambat dan menaiktaraf lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan, di Petaling Jaya, Khamis.

Menurut Fadillah lagi, kerja-kerja naik taraf ini turut merangkumi kerja-kerja melebarkan jalan sedia ada kepada 3.0 meter, menambah baik rekabentuk geometrik mengikut piawaian JKR dan menambah baik sistem perparitan dan pembentungan di situ.

“Kita juga bersetuju untuk menambah pencahayaan di setiap terowong dan laluan yang gelap di lorong motorsikal tersebut.

“Walaupun tidak dipasang CCTV atau kamera, tetapi sebanyak 400 lampu akan kita pasang di sepanjang kawasan gelap di lorong motosikal dalam usaha kita meningkatkan rasa selamat penunggang motosikal melalui lorong motosikal di lebuhraya ini,” jelas Ahli Parlimen Petra Jaya itu.

Projek naik taraf ini dijangka siap pada April 2018 dan Roadcare Sdn Bhd diberi tanggungjawab untuk menyiapkan projek itu.

Dalam perkembangan lain, Fadillah menjelaskan penutupan kaunter tambah nilai di semua plaza tol lebuh raya adalah hanya pada musim perayaan ini sahaja.

“Ini hanya sementara. Kaunter tambah nilai ditutup pada sambutan Hari Raya ini sahaja untuk mengurangkan kesesakan aliran trafik,” ujarnya.

Katanya, pengguna lebuh raya boleh membuat persediaan awal dengan memastikan nilai kad prabayar mencukupi terlebih dahulu.

“Jadi kena buat persediaan awal. Pengguna boleh topup kad pra bayar di kiosk-kiosk yang disediakan. Jadi masalah tidak akan berlaku jika kita topup terlebih dahulu

“Kita telah sediakan banyak kiosk untuk tambah nilai kad prabayar seperti di stesen minyak, mesin ATM bank, dan sebagainya,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 June 2017 1:55 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: