Kategori Berita Utama

Lupa perjuangan, bukan matlamat FELDA wujud kumpulan kaya raya

16 JULAI: Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad seolah-olah menjadi semakin pelupa apabila mempersoalkan tindakan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Razak Hussein mengurus peneroka yang belum menjadi jutawan sehingga kini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) itu berkata, pendekatan asal Razak membangunkan FELDA ialah untuk membasmi kemiskinan melalui pelaksanaan projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.

“Dr Mahathir lupa, pendekatan Tun Razak dalam konsep FELDA untuk mengangkat seberapa ramai yang boleh keluar daripada kemiskinan dan bukannya mewujudkan kumpulan kecil, elit atau kroni kaya.

“Kalau setiap peneroka dapat 100,000 ekar (40,000 hektar), kayalah mereka (peneroka) tetapi bilangan yang akan mendapat manfaat tidak akan sama macam hari ini.

“Hari ini, kita bantu lebih 110,000 peneroka dengan 1.2 juta tanggungan lain, tapi kalau pendekatan Dr Mahathir ikut hasil kroni, kita tidak akan lihat negara hari ini dapat mengangkat sebahagian masyarakat kampung dan luar bandar keluar daripada garis kemiskinan,” katanya pada sidang media di Alor Gajah, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Dr Mahathir mengadakan perjumpaan bersama peneroka Felda di Kota Tinggi, Johor semalam.

Dalam pertemuan itu, bekas Perdana Menteri berkenaan mendakwa Razak melakukan kesilapan dalam merencana badan berkanun itu kerana hanya memberikan 10 ekar (empat hektar) tanah menyebabkan peneroka tidak menjadi jutawan.

“Jika mengikut cara Dr. Mahathir… kroni, kumpulan kecil dan golongan tertentu sahaja yang mendapat faedah daripadanya,” katanya.

Shahrir berkata jika langkah yang ingin diguna oleh Dr. Mahathir tepat, beliau sepatutnya mengunakan kaedah tersebut ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun dahulu.

Beliau turut mempersoalkan kenapa ketika menjadi perdana menteri, Dr. Mahathir hanya memberi tumpuan kepada Kuala Lumpur sahaja dan tidak kepada pembangunan luar bandar serta sektor pertanian.

“Hari ini baru kita dapat lihat hasil usaha daripada Allahyarham Tun Abdul Razak, (bekas Timbalan Perdana Menteri) Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, (perdana menteri kelima) Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga Datuk Seri Najib Tun Razak apabila pertanian berjaya dijadikan sebagai satu perusahaan yang menyumbang kepada ekonomi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrir berkata pihaknya sedang berusaha menyelesaikan isu pemilikan rumah yang dihadapi oleh generasi kedua Felda.

“Felda sedang giat menyelesaikan masalah ini dengan mengadakan kerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk membolehkan generasi kedua Felda yang mampu tetapi tidak mempunyai penyata gaji bulanan mendapatkan pinjaman perumahan,” katanya.

Terdahulu, Shahrir menghadiri program Karnival Negaraku Sehati Sejiwa dan Sambutan Aidilfitri di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Machap, Hutan Percha, di sini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Share This:




Berita Bertarikh pada 16 July 2017 9:37 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]