Kategori Berita Utama

Mahathir akui PM tidak boleh pegang jawatan lain

18 MEI: Selepas ditegur tidak mengikuti manifesto Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio lain dalam Kabinet.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, beliau sedia menerima portfolio terbabit jika ada permintaan.

“(Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio lain) sudah termaktub dalam manifesto PH dan saya tidak boleh memungkiri (manifesto) itu buat masa ini.

“Sudah tentu jika ada permintaan, saya akan mengambil portfolio pendidikan,” katanya pada sesi wawancara yang dimuatkan dalam Facebook Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

Ditanya sama ada portfolio itu diserahkan kepada timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Perdana Menteri berkata, itu tidak akan berlaku kerana Dr Wan Azizah sudah mempunyai kementeriannya sendiri.

Selain Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah turut menerajui Kementerian Hal Ehwal Wanita Dan Kebajikan.

“Saya tidak menyerahkan (portfolio pendidikan) kepada timbalan saya kerana beliau sudah diberikan kementeriannya sendiri.

“Tiada halangan untuk Timbalan Perdana Menteri memegang lebih daripada satu portfolio, halangan itu hanya membabitkan Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, secara tradisi, orang nombor satu dan dua dalam pentadbiran kerajaan akan memegang lebih dari satu portfolio sama ada Kementerian Pertahanan atau Kementerian Dalam Negeri.

Tindakan Dr Mahathir menamakan dirinya sebagai Menteri Pendidikan jelas bertentangan dengan manifesto PH yang menyatakan Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain terutama Menteri Kewangan.

Selain itu, Dr Mahathir turut ditegur kerana melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sedangkan didalam manifesto, pelantikan itu mesti melalui persetujuan Parlimen.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebagai KP SPRM menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad. 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 May 2018 8:08 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: