Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Mahfuz tak layak mohon maaf, tindakan perundangan sewajarnya

16 JAN: Gabungan Anak Daerah-Daerah Pahang di Lembah Klang, membuat laporan polis tengahari tadi terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, yang didakwa menghina Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Pengerusi Persatuan Anak-anak Pekan di Lembah Klang, Datuk Shahruddin Ahmad, yang mewakili anak-anak Pahang di Lembah Klang, berkata laporan itu dibuat di bawah Seksyen 3(1) (a) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan bersifat menghina Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

“Gabungan kami yang bersifat bebas politik membuat laporan ini atas kapasiti anak-anak Pahang yang taat dan menjunjung tinggi Sultan kami, setelah mendapati YB berkenaan mengeluarkan kenyataan menghina, memperkecil, mempermain dan memperolok-olokkan Tuanku Sultan kami seperti yang tular terutamanya di media sosial.

“Sehubungan itu kami membuat laporan polis agar pihak berkuasa membuka kertas siasatan dan seterusnya memgambil tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada ke atas YB berkenaan. Dengan timdakan ini kami berharap ia akan menjadi peringatan kepada mana-mana pihak yang cuba bersikap kurang ajar dan berani menghina Raja-Raja Melayu.

“Sepatutnya sebagai pemimpin beliau tidak sewajarnya menggunakan atau membabitkan institusi raja dengan politik.

“Kami kecewa dengan tindakan beliau dan satu laporan polis dibuat atas kebiadapan itu,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Anak Maran di Lembah Klang, Datuk Jasri Jamaludin dan Presiden Kelab Anak Jerantut di Lembah Klang, Datuk Rozilan Salleh.

Shahruddin turut menyatakan kekesalan atas sikap sesetengah pihak dalam keghairahan berpolitik telah menganggu-gugat ketenteraman awam.

“Tindakan beliau ini telah melampaui batas perundangan dan amat tidak wajar terutama sebagai seorang Ahli Parlimen yang merupakan penggubal undang-undang negara.

“Beliau telah rakus semberono dengan memperleceh dan mempermainkan institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi tonggak ideologi kebangsaan iaitu Rukunegara melalui rukun kedua Kesetiaan Kepada Raja dan Negara,” katanya lagi.

Sehubungan itu beliau berharap satu tindakan segera diambil terhadap Ahli Parlimen terbabit.

“Kami tidak mahu mendesak YB Dato’ Mahfuz memohon maaf memandangkan beliau sudah tentu lebih arif dan mengetahui serta menyedari sebagai seorang berbangsa Melayu, tidak sepantasnya bersikap celupar serta rendah akal budinya terhadap Institusi Raja-Raja Melayu.

“Biarlah tindakan undang-undang menjadi pengajaran terhadapnya dan mereka yang sewaktu dengannya,” ujarnya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 January 2018 5:18 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: