Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Mahkamah Persekutuan kekalkan hukuman mati 9 warga Filipina

15 JAN: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhi ke atas sembilan warga Filipina kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong berikutan pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim memutuskan bahawa hukuman mati adalah hukuman yang paling sesuai berdasarkan dapatan fakta-fakta kes.

“Kami berpendapat bahawa sabitan terhadap mereka adalah selamat,” kata beliau.

Panel dengan sebulat suara menolak rayuan akhir yang dikemukakan oleh sembilan lelaki terbabit dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Jun tahun lalu yang mengekalkan sabitan ke atas mereka dan menjatuhi hukuman mati.

Hakim-hakim lain yang bersidang ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Ma’arop, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan dua orang hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Azahar Mohamed.

Kesembilan mereka ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 54, anak kepada Jamalul Kiram yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, Julham Rashid, 70, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, 53, Salib Akhmad Emali, 65, Tani Lahad Dahi, 64, Basad H. Manuel, 42, Atik Hussin Abu Bakar, 46, Al-Wazir Osman, 62, dan Ismail Yasin, 77.

Sementara itu, Hakim Raus juga mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan dan melepaskan 14 tertuduh lain atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kesalahan-kesalahan berkaitan pengganas berhubung pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Mereka ialah Masir Aidin, 23, Anwar Salib Akhmad, 34, Binhar Salib Akhmad, 32, Abdul Hadi Mawan, 53, (warga Filipina memegang kad pengenalan Malaysia), Rijmal Salleh, 24, Abdul Majil Jubin, 46, (rakyat Filipina pemegang kad pengenalan Malaysia) Rizman Gulan, 24, Basil Samiul, 38, Totoh Hismullah, 60, (rakyat Filipina yang memegang kad pengenalan Malaysia) Saidili Jaharul, 56, Kadir Uyung, 31, Lating Tiong, 21, Dani Ismail, 61, dan Salib Akhmad Emali (bagi kesalahan-kesalahan berkaitan pengganas).

Ketika menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan membebaskan mereka, Hakim Raus berkata mahkamah mendapati bahawa keputusan untuk membebaskan mereka adalah berdasarkan dapatan secara serentak fakta-fakta oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dan tidak ada sebab untuk Mahkamah Persekutuan memutuskan sebaliknya.

Panel menyampaikan keputusan selepas mendengar penghujahan sebelumnya selama kira-kira tiga jam daripada peguambela Datuk N. Sivananthan dan timbalan pendakwa raya Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mengetuai pihak pendakwaan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 January 2018 9:10 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: