Kategori Kawasan YB

Mai…mai…ke Padang Besaq

Kalau ikut urutan kawasan parlimen, Padang Besar terletak di senarai paling atas sekali, iaitu P001. Kawasan Padang Besar lebih terkenal dengan nama pekannya yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand yang menjadi tumpuan pelancong.

Pekan Siam yang menjadi pintu masuk di sempadan antara kedua negara itu adalah syurga membeli-belah barang-barang kraftangan, pakaian, pinggan mangkuk, makanan, cenderahati dan sebagainya.

Mereka yang belum pernah menjejak kaki ke Padang Besar, cara paling mudah ialah menaiki keretapi Ekspres Langkawi KTM dari Stesen Sentral Kuala Lumpur yang mengambil masa 10 jam dan turun di stesen Arau.

Bagi yang memandu, boleh menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan keluar melalui Changlun ke arah lebuh raya Changlun-Kuala Perlis menuju ke Kangar dan terus ke Padang Besar. Pemanduan mengikut had kelajuan yang dibenarkan akan mengambil masa enam jam.

zahidi1xx

Ahli Parlimen Padang Besar ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Ketua UUMNO Bahagian. Jawatan itu disandangnya sejak 2008 apabila beliau mengalahkan Datuk Seri Azmi Khalid,bekas Ahli Parlimen sebelum ini.

Graduan UITM ini memenangi Pilihanraya Umum (PRU) lalu dengan memperolehi 21,473, menang majoriti 7426 undi menewaskan calon PAS,Azamhari Mohamood yang mendapat 14,047 undi.

Di kalangan ahli-ahli parlimen, Zahidi dikenali sebagai orang yang permah, suka berjenaka dan boleh ketepi ketengah. Beliau juga seorang yang amat mesra media.

“Kalau hang minat shopping, datanglah ke Padang Besar. Di situ semuanya ada. Kalau tak mahu shopping, boleh tengok ladang tebu paling besaq,” katanya dalam loghat utara ketika bersembang di parlimen baru-baru ini.

“Di sini terdapat kilang simen, ladang tebu dan kilang memproses gula.Kawasan ini banyak ladang tebu dan sedikit ladang getah dan kelapa sawit. Di situ juga ada satu kawasan lombong bijih dalam gua, di mana lombong seumpana ini hanya ada dua di dunia. Satu lagi terletak di Brazil,” kata Zahidi dalam nada bersungguh-sungguh.

Menurut Zahidi di Padang Besar juga terdapat Hutan Simpan yang di dalamnya ada kawasan tanaman kayu jati. Di Padang Besar juga terdapat tasik buatan yang lengkap dengan hotel.

zahidi4xx

Zahid berkata sebagai Ahli Parlimen, beliau mempunyai beberapa rancangan untuk meningkatkan ekonomi di Padang Besar, antaranya mewujudkan kawasan bebas cukai.

“Untuk projek ini kami akan mengadakan pembangunan bandar dengan Thailand dan satu kawasan ini akan menjadi salah satu lagi kawasan pusat ekonomi negeri Perlis. Selain itu kami juga ada perancangan untuk menambahbaik kawasan pelancongan sedia ada.

“Antaranya Wang Kelian, Gua Lombong Bijih. Manakala di kawasan Hutan Simpan ada perusahaan Kayu Jati, Kami juga akan membina trek lumba kereta dan motor,” katanya.

zahidi5xx

Terdapat lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen Padang Besar, iaitu Titi Tinggi, Beseri, Cuping, Mata Ayer dan Santan.

Menurut Zahidi isu semasa yang sedang ditanganinya di parlimennya ialah peluang pekerjaan.

“Negara kita sedang bergerak untuk memajukan ekonomi, terutama yang berimpak tinggi dan pendapatan berganda. Tetapi di Padang Besar tidak terdapat peluang-peluang sedemikian.

zahidi6xx

“Maka tugas utama kita ialah untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan di sini terutama dalam industri berkaitan seperti kayu, perabot dan pelancongan. Buat masa ini cuma ada satu hotel dan homestay di Padang Besar. Jadi kami bercadang mahu wujudkan lebih banyak hotel dan inap desa.

“Manakala untuk kawasan bebas cukai yang dicadangkan, kami juga bercadang untuk mewujudkan industri mengeksport barang halal, auto-mobil serta membina pelabuhan darat di Padang Besar dengan menumpukan barangan daripada Thailand, Indonesia dan China.” – 26/9/2013

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 September 2013 2:06 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: