Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Malaysia tetapkan hala tuju Industri 4.0 Mac 2018

28 NOV: Kerajaan akan menetapkan hala tuju Malaysia dalam Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat pada penghujung Mac tahun hadapan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, satu dokumen juga akan dikeluarkan mengenai hala tuju Malaysia dalam Industri 4.0 termasuklah peranan yang akan digalas oleh Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia).

“Hala tuju itu turut juga menentukan peranan SME Corp. Malaysia dan langkah-langkah yang bakal diambil bagi memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS) menyertai Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Bajet 2018 bagi kementeriannya peringkat jawatankuasa, di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Menurutnya, Industri 4.0 akan diperluaskan ke seluruh negara khususnya dalam menggalakkan lebih banyak PKS menyertainya.

Kebanyakan industri di Malaysia masih berada dalam Industri 2.0 yang berasaskan buruh dan perlu meningkatkan tahap untuk sampai ke 4.0.

Revolusi perindustrian pertama tertumpu pada penggunaan mesin berkuasa wap, kedua pada elektrik untuk mengubah barisan pemasangan dan ketiga berkisar kepada penggunaan teknologi maklumat (IT) untuk terus mengautomasikan lagi barisan pengeluaran.

Manakala Revolusi perindustrian keempat atau Industri 4.0 pula menyaksikan Internet of Things (IoT) membaik pulih bukan sahaja perniagaan, tetapi hampir semua aspek kehidupan seharian.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 28 November 2017 8:14 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: