Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Malaysia bakal ada Pusat Kawalan Trafik Kebangsaan

15 FEB: Kerajaan sedang merancang untuk melaksanakan Pusat Kawalan Trafik Kebangsaan untuk menguruskan aliran trafik di lebuhraya seluruh negara termasuk Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuhraya Persekutuan di negara ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, secara prinsip perancangan mengenai pusat itu itu telah dibincangkan diperingkat jemaah menteri.

Katanya, cadangan itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun iaitu menjelang tahun 2020 dan keberkesanannya pengurusan trafik di seluruh lebuhraya boleh dijangka dalam masa lima tahun selepas pelaksanaannya.

“Kami diperingkat KKR (Kementerian Kerja Raya) menerusi sekretariat cuba melaksanakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) yang diwakili semua kementerian khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis dengan mewujudkan Pusat Kawalan Trafik Kebangsaan.

“Ia akan memastikan semua pihak penguat kuasa boleh menggunakan kemudahan itu untuk mengurus dan mengawal aliran trafik di semua lebuh raya untuk menjamin kelancarannya sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Tinjauan Trafik Lebuhraya Utara Selatan sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2018 di Persada PLUS, Subang Jaya petang tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir. Ismail Md. Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail.

Menyentuh mengenai pemauntauan udara di lebuhraya PLUS, Fadilah berkata, secara amnya tarik di sepanjang lebuhraya adalah lancar walaupun beberapa tempat ke arah utara terutama dari Tapah menghala ke Terowong Menora dilihat perlahan berikutan pergerakan kenderaan berat menaiki bukit.

“Malah di selatan trafik di setalan juga lancar tetapi kenderaan agak perlahan menuju ke Skudai dan pintu masuk ke Singapura dan masih beberapa kenderaan dikesan menggunakan lorong kecemasan lagi,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KKR juga dibawah Pusat Kawalan Utama Kebangsaan Trafik mahu memasang sistem sensor dan kamera di seluruh jalan persekutuan dan lebuhraya untuk memantau trafik dengan cekap dan bukan bertujuan mendenda atau menghukum pengguna.

“Sistem sensor dan kamera adalah untuk memastikan keselamatan jalan raya terjamin selain memastikan peraturan lalu lintas dipatuhi pengguna untuk mengurangkan risiko kemalangan.

“Dengan sensor dan kamera kita dapat mengumpul data aliran masuk kenderaan situasi trafik di semua lebuh raya dalam satu sistem untuk jangka panjang selain membantu penguatkuasa mengendalikan insiden seperti penculikan dan kecurian kenderaan,” ujarnya lagi.

Tambah beliau segala cadangan itu sudah dibentangkan di peringkat kabinet cuma untuk perinciannya sedang dikumpul dan akan dikaji.

“Tindakan seterusnya kita mahu memastikan secara dasar pelan induk itu dirangka setelah dipersetujui dan diterima semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung

“Apabila siap nanti satu pusat kawalan ini akan digunakan oleh semua penguatkuasa nanti,” tegasnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 February 2018 8:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: