Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Malaysia bantah ketenteraan di Laut China Selatan

3 JUN: Malaysia tetap menentang sebarang aktiviti ketenteraan di pulau buatan milik China di Laut China Selatan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Beijing memaklumkan kepada kita bahawa pulau-pulau berkenaan tidak akan dijadikan sebagai pententeraan,” katanya di luar sidang tahunan Dialog Shangri-La, Singapura, Sabtu.

Imej dari Google menunjukkan salah satu pulau buatan dikatakan milik China di Laut China Selatan.

Hishammuddin mengulas kenyataan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jim Mattis yang memberitahu forum keselamatan itu bahawa Washington tidak akan menerima pententeraan pulau-pulau di Laut China Selatan oleh Beijing.

“Selama ini, itu adalah pendirian Malaysia dan tidak ada perubahan,” kata beliau yang tidak sabar untuk bertemu dengan Mattis pada mesyuarat dua hala dengan negara itu, esok.

Ditanya mengenai tinjauan Laut China Selatan, Hishammuddin menanggapnya sebagai ‘terkawal’.

Katanya, kebimbangan utama Malaysia adalah ‘insiden yang tidak dingini dan tidak sengaja baik di laut mahupun di udara’ sehingga menjadi di luar kawalan.

“Jika wujud perkara-perkara yang dilakukan oleh Bejing yang tidak memuaskan hati, maka Malaysia boleh berunding secara langsung susulan hubungan baik yang sedia terjalin dengan China dan Amerika Syarikat,” kata beliau lagi.

Terdahulu semasa berucap mengenai ‘Cabaran Baharu Pengurusan Krisis di Asia Pasifik’, Hishammuddin berkata usaha mengekang cita-cita kumpulan pengganas Daesh di rantau Asia Pasifik dan penularan pengaruh kumpulan itu secara global menjadi cabaran utama pada tahun ini.

“Saya amat sedih untuk menyatakan bahawa siri serangan keganasan di Marawai, Mindanao oleh anggota militan turut termasuk rakyat Malaysia, Ramai di antara individu terbabit adalah daripada latar belakang yang baik dan berprofesion,” katanya.

Menurutnya, cabaran kedua paling menonjol tahun ini adalah peningkatan ketegangan dan ketidakstabilan di Semenanjung Korea.

“Tiada siapa dapat menjangkakan kesan secara langsung daripada situasi ini. Pembunuhan kejam abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kami tidak terlindung daripada dunia dan masalah-masalahnya.

“Izinkan saya untuk mengambil kesempatan ini untuk mengulangi gesaan Malaysia supaya sikap menahan diri dan dialog diadakan mengenai isu Semenanjung Korea kerana tiada siapa akan menerima manfaat daripada konflik ini terutama apabila membabitkan senjata nuklear” katanya

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 June 2017 8:15 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: