Kategori Ekonomi

Malaysia-China bakal metrai 3 MoU perdagangan

11 MEI: Tiga Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan serta beberapa MoU sektor swasta bakal dimeterai sempena lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke China bermula esok hingga 16 Mei ini.

Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya, berkata ianya membabitkan pelaburan, kewangan, pengangkutan, pelabuhan, hartanah dan pertanian.

Sepanjang lawatan itu, beliau akan melawat ibu pejabat Alibaba Group serta mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Eksekutifnya, Jack Ma.

Perdana Menteri juga akan menerima kunjungan hormat Setiausaha Parti Wilayah Zhejiang, Che Jun dan menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) dan Hangzhou Municipal Government & Alibaba Company Ltd.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, akan berlepas ke Beijing.

Zainuddin berkata Najib dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang.

“Perkara berhubung hubungan dua hala dan isu yang mempunyai kepentingan bersama dijangka dibincang semasa pertemuan berkenaan,” katanya pada Khamis.

Najib juga akan menghadiri The Belt and Road Forum for International Cooperation (BRF) atas jemputan Presiden Xi Jinping pada 14 hingga 15 Mei. Forum berkenaan akan turut dihadiri 27 ketua negara lain.

Beliau berkata, pada BRF yang bertemakan ‘Kerjasama untuk Kesejahteraan Bersama’, Perdana Menteri turut serta dalam Mesyuarat Meja Bulat Pemimpin.

“Selain menzahirkan sokongan Malaysia ke atas Inisiatif Belt & Road (OBOR), yang dipelopori Xi Jinping, lawatah Perdana Menteri ke China kali ini penting bagi mengukuh dan meningkatkan lagi kerjasama kedua-dua negara.

“Penyertaan Perdana Menteri dalam forum BRF ini juga memberi peluang untuk beliau mengetengahkan idea khususnya untuk memastikan inisiatif OBOR secara langsung memberi manfaat kepada Malaysia,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 May 2017 2:32 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: