Kategori Berita Utama

Malaysia iktiraf Konvensyen Budapest perangi jenayah siber

10 JUN: Kerajaan Malaysia mengiktiraf Konvensyen Budapest sebagai triti antarabangsa pertama dalam memerangi jenayah Internet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Azalina Othman Said berkata, konvensyen Budapest ini akan dapat mengukuhkan kerjasama antarabangsa memerangi jenayah siber.

“Konvensyen Budapest adalah perjanjian antarabangsa yang melibatkan internet dan rangkaian komputer serta jenayah tradisional yang menggunakan komputer sebagai medium seperti kesalahan berkaitan pelanggaran hak cipta, penipuan berkaitan komputer (computer-related fraud) dan pornografi kanak-kanak.

“Penglibatan delegasi Malaysia ke Konvensyen Budapest merupakan antara pendekatan yang diambil sebagai usaha melihat kepada amalan terbaik antarabangsa dalam mengendalikan ancaman siber termasuk pornografi kanak-kanak dan jenis-jenis ancaman jenayah seksual alaf baru yang membahayakan keselamatan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sehingga 1 Jun 2017, sebanyak 55 negara telah meratifikasi Konvensyen tersebut.

“Ia antara lain bertujuan untuk menyelaras elemen substantif yang terkandung dalam undang-undang bagi jenayah siber serta mewujudkan rejim kerjasama antarabangsa yang berkesan.

“Kehadiran kami bersama delegasi atas jemputan Council of Europe adalah sebagai pemerhati dan mendapat penjelasan lebih lanjut berkenaan Konvensyen Budapest dari segi aspek perundangan, pengoperasian, teknikal serta pentadbiran,” ujarnya.

Azalina turut menyampaikan ucaptama khas kepada Cybercrime Convention Committee yang dihadiri oleh wakil-wakil Kerajaan dari pelbagai negara.

Dalam pada itu, Azalina berkata Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 4 April 2017 dan Dewan Negara pada 26 April 2017 secara khususnya juga mempunyai peruntukan khusus kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan pornografi kanak-kanak di mana rujukan utama dibuat kepada Konvensyen Budapest.

“Sehubungan itu, kajian yang mendalam akan dilakukan bersama Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasa yang lain sebelum Malaysia menyertai (accede to) Konvensyen Budapest,” katanya.

Azalina mengadakan lawatan kerja ke Strasbourg, Perancis bagi menghadiri 17th Plenary Meeting of the Cybercrime Convention Committee (TC-Y), Council of Europe Convention on Cybercrime (Konvensyen Budapest).

Menerusi siri lawatan kerja ini, Azalina turut mengadakan pertemuan antara lain dengan Timbalan Setiausaha Agong Majlis Eropah, Gabriella Battaini-Dragoni dan Ketua Pengarah Direktorat Hak Asasi Manusia dan Undang-Undang Majlis Eropah, Philippe Boillat.

Turut serta dalam delegasi tersebut adalah Datin Paduka Zauyah Be T.Loth Khan, Peguam Cara Negara II, wakil Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 June 2017 11:19 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: