Kategori Ekonomi

Malaysia, Indonesia perangi ancaman industri sawit

30 APRIL:  Tiga negara pengeluar sawit mentah dunia termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand akan bekerjasama untuk memerangi ancaman terkini terhadap industri itu susulan Parlimen Eropah mengaitkannya dengan penebangan hutan.

Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu yang dibangkitkan oleh beliau mendapat sokongan kuat daripada Presiden Indonesia Joko Widodo.

Resolusi oleh Parlimen Eropah baru-baru ini menggesa Kesatuan Eropah (EU) menghentikan penggunaan minyak sayuran dalam biodiesel menjelang 2020 yang didakwa dihasilkan dengan cara yang tidak mampan dan membawa kepada penebangan hutan. Resolusi itu termasuk minyak sawit.

“Jika resolusi ini dikuatkuasakan, ia akan membawa kesan yang amat buruk kepada kepentingan negara kita, khususnya 600,000 pekebun kecil di Malaysia dan 2.4 juta di Indonesia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN 2017, Manila, Sabtu.

“Presiden Jokowi melahirkan sokongan yang kuat bagi cadangan Malaysia, Indonesia dan juga Thailand terlibat dalam usaha untuk memerangi ancaman terbaharu ini.

“Dan untuk itu, kita cuba mempengaruhi EU supaya tidak menguatkuasakan resolusi ini kerana kesannya, pasaran EU akan tertutup bagi minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Najib berkata beliau turut mencadangkan usul agar ASEAN melaksanakan kaedah kad skor untuk menentukan langkah dan tempoh masa bagi penurunan Halangan Bukan Tarif (NTB) dan Langkah Bukan Tarif (NTM) dapat dicapai.

NTB dan NTM meningkat daripada 1,634 pada 2000 kepada 5,975 pada 2015.

“Ia adalah peningkatan yang begitu ketara,” katanya.

Ditanya mengenai langkah-langkah Malaysia, beliau berkata ia tidak boleh hanya membabitkan Malaysia tetapi setiap negara perlu menyahut saranan mengurangkan NTB dan NTM secara positif.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 April 2017 10:03 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: