Kategori Berita Utama

Malaysia juga patut boikot produk label bebas sawit EU

15 NOV : Kerajaan Malaysia dicadangkan supaya membuat sekatan perdagangan dengan negara Kesatuan Eropah (EU) membabitkan produk yang mempunyai label bebas sawit.

Ini ekoran tindakan EU yang menyekat produk berasaskan sawit ke negara itu baru-baru ini.

Cadangan itu dibuat Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dengan menjelaskan ‘serangan’ balas tersebut adalah bagi membantah sekatan yang mampu menjejaskan pasaran sawit negara.

“Mereka sepatutnya tidak mengenakan sekatan tertentu yang akan mengakibatkan pasaran sawit terjejas.

“Kita patut mengenakan sekatan perdagangan pada mereka (Eropah). Kalau dia boleh buat (sekatan) kita, kita pun boleh buat terhadap mereka juga,” katanya pada sidang media bersama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional, di Parlimen Rabu.

Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendakwa ada segelintir pelobi di Eropah tidak mahu produk minyak sawit Malaysia dan Indonesia dipasarkan secara meluas di sana.

“Kita tahu memang ada pelobi di Eropah yang sengaja menjaja cerita tidak benar terhadap produk kelapa sawit. Malah kita dapat maklumat ada produk yang dipasarkan disana digalakkan untuk meletakkan label tanpa minyak sawit,” ujarnya.

Dalam pada itu, ahli parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kerajaan perlu bertegas dalam melindungi pekebun kecil melibatkan penanaman kelapa sawit susulan sekatan tersebut.

Katanya lagi Malaysia perlu mempertahankan hak sebagai pengeluar kedua terbesar minyak kelapa sawit bersama Indonesia.

“Kenapa orang asing yang menentukan cara minyak sawit dikeluarkan, kononnya minyak sawit kita merosakkan bumi, membunuh orang utan, buat pembakaran secara terbuka, ini cerita 30 tahun lalu.

“Kita tidak buka ladang sawit baru, apa yang ada adalah penanaman semula, ini yang berlaku dan Eropah juga iktiraf badan RSPO dimana kebanyakan ahli lembaga pengarah bukan daripada negara pengeluar tapi dari pengilang itu sendiri,” katanya ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi peringkat jawatankuasa bagi Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Rabu.

Kata Bung lagi, tindakan negara Eropah menyekat minyak sawit terus dieksport adalah tidak bermoral seolah-olah mereka cuba untuk mengawal hasil keluaran Malaysia.

“Dalam hal ini sejauh mana penentangan dibuat oleh kerajaan yang diambil oleh Kesatuan Eropah sebab mereka dalam resolusi meletakkan syarat, nak regulatekan minyak sawit dengan 1 agensi sahaja, iaitu agensi yang dikawal selia oleh Eropah.

“Kesatuan Eropah harus melihat diri mereka sendiri, saya tahu bahawa ekoran daripada bekalan sawit berterusan ini menjadi saingan kepada kacang soya, sunflower dan macam-macam lagi. Produk mereka perlu buat penanaman semula setiap empat bulan, tapi kita 25 ke 30 tahun baru buat penanaman semula,” jelasnya.

Dalam pada itu, ahli parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Harun Narrashid turut menyokong gesaan tersebut bagi melindungi 650 ribu pekebun kecil serta pihak lain yang terbabit dalam industri kelapa sawit.

“Malaysia akan bekerjasama dengan Indonesia supaya minyak sawit tidak diperkotak-katikkan, bukan niat kita untuk memulakan ‘trade war; kepada sektor perladangan, tapi kita nak menjaga 650 ribu pekebun kecil, 3 juta yang berkait dengan industri, 17.5 juta pekebun kecil turut terlibat sudah pasti akan terkesan kepada industri ini.

“Atas sebab itu kita menyokong penuh untuk kerajaan memperkasakan lagi usaha mempastikan minyak sawit tidak menjadi bahan yang dikekang eropah,” jelasnya..

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 November 2017 9:06 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: