Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Mampu bina rumah rakyat bukti kerajaan tidak bankrap

2 APRIL: Kemampuan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) menunjukkan kerajaan tidak bankrap, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan pihak tertentu yang menyatakan sedemikian terhadap kerajaan yang sebenarnya berfikiran bankrap.

“Projek Perumahan Rakyat di Lenggong ini yang dibina sebanyak 500 unit rumah akan dijual dengan harga jualan bernilai RM35,000 seunit.

“Jadi mana ada pemaju yang membuat rumah yang bernilai kira-kira RM194,000 tetapi dijual dengan harga RM35,000. Tidak ada, hanya kerajaan tidak bankrap sahaja boleh jual dengan harga RM35,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bantu rakyat dan majlis pecah tanah PPR Lenggong hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Projek bernilai RM94 juta itu dengan setiap 1 unit berkeluasan 700 kaki persegi akan dibina di Kampung Chain, manakala bagi penghuni orang kurang upaya, unit tersebut akan menawarkan keluasan 710 kaki persegi.

Setiap unit rumah itu akan mempunyai 3 bilik, 2 bilik air, 1 dapur selain menyediakan kemudahan surau, tadika serta premis perniagaan.

Zahid berkata projek berkenaan adalah satu manifestasi kerajaan yang terdahulu dalam menyediakan rumah kepada rakyat dan ia bukan diwujudkan untuk agenda politik.

“Manifesto yang lalu, kerajaan melalui pelbagai pihak antaranya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhasrat menyediakan 1 juta projek perumahan kepada rakyat termasuk program di sini, adalah janji yang ditepati untuk memberikan nikmat kepada orang Lenggong,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata nikmat ini harus diberikan kepada setiap rakyat dan tidak harus dibezakan dari segi pertempatan rakyat, agama, bangsa dan perbezaan pegangan politik.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 2 April 2018 3:18 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: