Kategori Berita Utama

Mana-mana agama tidak sokong ekstremis, fahaman radikal

27 MAC: Fahaman ekstremis dan radikal tidak disokong dalam mana-mana agama kerana ia hanya akan membawa kehancuran kepada sesebuah masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat salah faham dalam kalangan orang ramai yang melihat agama sebagai punca kepada konflik dan sumber utama keganasan walhal agama sebenarnya pemangkin kepada keharmonian dan kesalingan keamanan.

“Ekstremisme dan radikalisasi tidak disokong mana-mana agama dan budaya. Ia adalah wabak yang boleh bawa kehancuran dan kemusnahan kepada masyrakat.

“Oleh sedemikian, semua pengikut agama perlu tampil ke depan dan menyokong agenda kesederhanaan memandangkan ia kaedah terbaik untuk menangani masalah dan huru-hara yang disebabkan oleh fahaman ekstrem dan kesilapan dalam memahami prinsip agama,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis perasmian Simposium Antarabangsa Kesederhanaan Dalam Masyarakat Pelbagai Agama, Menuju Keamanan dan Keharmonian di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jalan Duta hari ini.

Jelasnya, konsep wasatiyyah yang mengangkat nilai kesederhanaan daripada sudut Islam menekankan betapa pentingnya prinsip keadilan, keseimbangan dan berbuat baik.

“Nilai-nilai terpuji ini menghalang seseorang daripada prejudis, membuat kebencian yang boleh menjadi punca kepada konflik di kalangan orang beragama,” katanya.

Dalam konteks Malaysia, masyarakatnya berbilang agama dan kaum tetapi masih dapat hidup dengan harmoni dan sentosa hasil daripada dialog serta persefahaman antara satu sama lain, kata Zahid.

“Dialog merupakan mekanisma terbaik untuk mengembangkan persefahaman, hormat menghormati dan juga menjadi pentas untuk berkongsi perspektif agama dalam isu melibatkan kemanusiaan, termasuk memelihara keamanan dan keharmonian,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid menggesa supaya semua penganut agama mengamalkan kesederhanaan bagi menangkis ancaman pelampau agama dan fahaman radikal.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 March 2018 12:28 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: