Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Mangsa banjir P.Pinang meningkat 6,293 orang

6 NOV: Sejumlah 6,293 mangsa banjir di Pulau Pinang masih ditempatkan di 4 daerah di negeri itu setakat pukul 6.00 petang tadi, meningkat berbanding 5,478 orang pada tengah hari.

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata mangsa banjir itu membabitkan 1,602 keluarga yang ditempatkan di 41 pusat pemindahan di Pulau Pinang.

“Sehingga pukul 6.00 petang ini, sejumlah 3,955 mangsa banjir di Seberang Perai Utara (SPU) masih ditempatkan di 18 pusat pemindahan, meningkat berbanding 2,922 tengah hari tadi berikutan air semakin naik di beberapa kawasan seperti Air Melintas Besar, Sungai Dua dan Merbau Kudung,” katanya hari ini.

Beliau berkata beberapa jalan di kawasan SPU juga ditutup kepada lalu lintas kerana air naik antara 0.2 meter hingga 0.7 meter antaranya Jalan Bertam Indah, Jalan Lahar Yooi-Sungai Dua, Lahar Yooi-Padang Menora, Jalan Sungai Dua, Jalan Perusahaan Sungai Lokan, Jalan Matahari Naik, Jalan Padang Tonsun dan Jalan Ara Kuda.

Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula mencatat 2,115 mangsa di 21 pusat penempatan dan 53 orang di Seberang Perai Selatan serta 32 orang di Timur Laut, masing-masing di sebuah pusat pemindahan.

Beliau berkata pusat pemindahan di daerah Barat Daya ditutup petang ini.

Ketika ini cuaca di bahagian seberang dan pulau mendung serta hujan renyai di beberapa kawasan.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air di antara 0.2 dan 1 meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini meragut 7 nyawa.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 November 2017 10:17 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: