Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Mangsa ke-4 jangkitan Rabies di Serian

11 JULAI: Kementerian Kesihatan mengesahkan satu lagi jangkitan Rabies di Kampung Ampungan, Serian, Sarawak sekali gus menjadikan empat kes penyakit dikesan di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaharu membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang mempunyai sejarah gigitan anjing pada 27 Mei lalu di Kampung Saroban.

Katanya, dengan pengesahan kes itu, jumlah kes rabies di Sarawak sehingga 11 Julai adalah sebanyak empat kes.

“Pada 3 Julai lalu, kanak-kanak itu mengalami gejala demam, sakit di lengan kiri serta kelihatan kurang aktif dan dibawa untuk rawatan ke Hospital Serian. Keesokannya, kes itu dirujuk kepada Hospital Umum Sarawak (SGH) dan dipindahkan ke Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak (PICU) SGH kerana semakin kritikal.

“Mangsa disahkan mengalami jangkitan rabies melalui ujian makmal pada hari ini. Bagi kes ketiga Rabies pula, mangsa masih dirawat di wad PICU dan dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Dr Noor Hisham, Pengesanan Kes Aktif (ACD) bagi mengesan kes gigitan anjing telah dilaksanakan di kawasan kejadian wabak rabies di Serian oleh Pejabat Kesihatan Serian bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak.

Sebanyak 192 kes gigitan anjing telah dikesan di kawasan wabak Serian dan  diberikan rawatan.

Beliau juga menasihati setiap anjing peliharaan mendapatkan suntikan antirabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan sentuhan dengan anjing liar.

“Jika anjing peliharaan didapati tidak sihat atau berkelakuan agresif dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar berdekatan.

“Laporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal,” kata Dr Noor Hisham.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 July 2017 11:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: