Kategori Berita Utama

Mangsa pelarian lebih memerlukan rawatan psikologi pulih semangat

25 NOV: Meskipun pada hakikatnya mangsa pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh tidak mempunyai sebarang kecederaan, namun doktor Mercy Malaysia yang menetap di situ, Dr Jefri Harris berkata pihaknya akan memberi rawatan dalam bentuk psikologi bagi memulihkan semangat mangsa pelarian itu.

Katanya ia adalah penting bagi memulihkan semangat mereka selepas apa yang terjadi ditempat asal mereka.

“Kadang-kadang kita jumpa mereka dalam keadaan yang sihat, tak sakit apa-apa, tapi mereka nak kita dengar cerita mereka, tapi kita tak akan soal apa-apa.

“Kita akan layan mereka, seperti biasa kita akan check darah mereka, tengok tekanan darah, walaupun kita tahu dia tak sakit apa-apa, itulah rawatan psikologi.

“Yang lebihnya mereka nak kita dengar sahaja apa yang mereka nak cerita,” ujarnya.

Mercy Malaysia merupakan NGO yang bertempat di Cox’s Bazar, Bangladesh untuk menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan kepada mangsa pelarian tersebut.

Setakat ini badan berkenaan mempunyai 11 kakitangan yang tinggal di kem pelarian itu sehingga Disember ini dan kemudiannya akan bertukar ganti dengan kakitangan yang lain bagi meneruskan perkhidmatan di situ.

Sebuah lagi NGO yang turut bersama memberi bantuan kepada mangsa pelarian tersebut adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Menurut Naib Presidennya, Ahmad Tarmizi Sulaiman sebanyak 322 buah rumah perlindungan telah dibina oleh NGO Malaysia sebagai penempatan mangsa pelarian tersebut.

Katanya, rumah tersebut dibina daripada sumbangan yang diberi rakyat Malaysia sejak Ogos lalu.

“Kita dah beroperasi awal tahun ini, tapi kes yang baru ini adalah pada 25 Ogos, ada juga kes menyayat hati saya apabila anak-anak ada yang berlari, jalan kaki tanpa arah tuju apabila mak mereka dibakar hidup-hidup depan mereka.

“Selain itu kita juga dah bina 127 buah pengkalan air bersih, 21 buah madrasah dan musolla yang digabungkan fungsinya,” jelasnya.

Dari segi pengagihan makanan, jelas Ahmad Tarmizi lagi sebanyak 22,455 pakej makanan dengan muatan 160 tan telah diserahkan kepada mangsa pelarian berkenaan.

2,500 selimut juga turut diberikan kepada mereka secara terus ketika lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Oktober lalu.

“Jumlah sumbangan melalui MAPIM masih lagi sedikit jika nak dibandingkan dengan jumlah penduduk di sini yang terlalu ramai, masih banyak lagi keperluan mereka yang harus disalurkan.

“Apatah lagi bagi menghadapi musim sejuk pada pertengahan bulan Disember ini.

“Kita sangat menjadi perhatian mereka dan mereka idamkan untuk pergi ke Malaysia nanti kerana mereka menyanjung tinggi negara kita sejak sekian lama,” jelasnya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 November 2017 10:45 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: