Kategori Berita Utama

Manifesto BN Selangor senaraikan 10 perkara teras

8 APRIL: Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini melancarkan manifesto 10 perkara merangkumi 100 inisiatif fokus untuk rakyat Selangor jika berjaya merampas semula negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Manifesto bertemakan ‘Better Selangor Yakinlah. BN Lebih Baik!’ itu dilancarkan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Manifesto BN Selangor turut menggariskan lima matlamat utama yang ditawarkan kepada rakyat negeri ini.

Lima matlamat utama itu ialah Kestabilan Politik dan Pentadbiran Negeri Berprestasi Tinggi; Keselamatan, Kesejahteraan dan Kemakmuran Rakyat; Infrastruktur dan Kemudahan Asas Mesra Pengguna; Ekonomi Berkembang Maju, Mampan, Inovatif dan Berdaya Saing di peringkat Global serta Kesepaduan Rakyat Tonggak Utama Kelestarian Pembangunan Sosioekonomi Negeri.

Sepuluh perkara terkandung dalam manifesto itu adalah perkhidmatan awam berprestasi tinggi; ekonomi berkembang maju, mampan dan inovatif; perumahan sejahtera dan mampu milik; kecemerlangan pendidikan dan modal insan; infrastruktur dan kemudahan asas mesra pengguna serta kesejahteraan belia, wanita dan masyarakat majmuk.

Manifesto itu turut menggariskan pengangkutan awam cekap dan mampu bayar; keselamatan dan ketenteraman awam; kesihatan berkualiti dan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat bandar.

Antara inisiatif fokus dalam manifesto itu ialah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sektor kerajaan ditanggung sepenuhnya; pembinaan 50,000 unit rumah mampu milik; sebanyak 10 peratus insentif pembelian rumah pertama bawah RM200,000; pendidikan Sekolah Rendah Agama (SRA) percuma; Universiti Selangor (UNISEL) dinaik taraf universiti awam; dana khas rumah sewa mahasiswa, sekolah tahfiz dan RM2,000 bantuan khas kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

BN Selangor juga berikrar akan memuktamadkan segera penstrukturan semula industri air demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat Selangor; pemberian 20 meter padu air percuma serta rebat penggunaan bawah 40 meter padu; insentif bantuan pengurusan jenazah; insentif perkahwinan 50 peratus sewaan dewan kerajaan negeri; Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan bola sepak Selangor; mewujudkan sebuah bandar belia serta penyediaan pekerjaan baharu pesara.

Turut ditawarkan kepada rakyat Selangor ialah dana khas bantuan tambang sekolah keluarga B40 dan dana khas bantuan memiliki lesen motosikal; litar perlumbaan motosikal di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT); pusat dialisis percuma di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN); bayaran 20 sen kepada pengguna yang membawa beg sendiri ke kedai atau pasar raya yang mengenakan bayaran plastik; saman dan kompaun tertunggak kesalahan penjaja atau peniaga kecil serta trafik PBT dihapuskan; serta kemudahan TASKA dan TADIKA di setiap perumahan kos rendah atau sederhana.

BN Selangor turut membuat akujanji menambah 10,000 wifi hotspot; dana khas pembangunan dan pembayaran bil air serta elektrik rumah ibadat berbilang kaum; perkhidmatan bas sekolah percuma di Program Perumahan Rakyat (PPR); dana khas penyediaan pusat transit pelajar; dana khas penyelenggaraan SRA dan Sekolah Agama Menengah, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil serta Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina; rumah PPR dijadikan rumah sewa beli; serta program perumahan belia, imam, siak dan penjawat awam Selangor.

Hadir sama pada Majlis Pelancaran Manifesto BN Selangor ialah Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Pengerusi MyPPP Selangor, Datuk Seri Maglin D’Cruz dan Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Pada program itu, BN Selangor turut melancarkan lagu Selangor Tersohor khusus untuk PRU14.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 April 2018 7:45 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: