Kategori Ekonomi

MAPEX Johor tawar 5,328 unit hartanah

21 APRIL: Sebanyak 5,328 unit hartanah bernilai kira-kira RM3 bilion ditawarkan pada Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) Johor 2017 di pusat beli-belah AEON Tebrau City, bermula hari ini.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Johor, Datuk Steve Chong Yoon On, berkata pameran tiga hari bermula jam 11 pagi hingga 10 malam itu membabitkan penyertaan 32 pemaju perumahan.

“MAPEX 2017 berperanan sebagai pusat sehenti untuk pembelian hartanah yang menawarkan portfolio hartanah sederhana hingga mewah bermula antara RM300,000 hingga RM10 juta seunit.

“Penganjuran program ini antara lain bertujuan memudahkan orang ramai merujuk dan membuat pilihan berkaitan unit hartanah yang ditawarkan di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian MAPEX 2017 yang disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru, Sidek Paiman, hari ini.

Yoon On berkata, MAPEX 2017 juga membantu pembeli rumah membuat antara keputusan paling penting dalam hidup iaitu pelaburan hartanah.

Katanya, ekspo itu menyasarkan kehadiran lebih 2,000 pengunjung bagi menyertai pelbagai aktiviti sepanjang tiga hari termasuk forum hartanah, forum rekaan dalaman dan cabutan bertuah.

“Penganjuran MAPEX disasarkan ke arah merangsang pasaran hartanah tempatan, selain menyediakan peluang kepada pemaju untuk mempamer produk,” katanya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 21 April 2017 4:27 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]