Kategori Berita Utama

Masalah sampah, denggi, air di Selangor selesai jika BN tadbir

14 APRIL: Jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir semula Selangor, masalah sampah dan denggi yang teruk di negeri itu akan diselesaikan sepenuhnya.

Bukan itu sahaja, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji BN akan selesaikan isu bekalan air yang kerap terputus di Selangor – yang begitu membebankan rakyat negeri itu.

“Sekarang masalah air di Selangor, kita letak paling tinggi sekali untuk diselesaikan, tetapi ini pula masalah sampah dan denggi. Kita tidak mahu Selangor menjadi darul sampah atau darul denggi.

“Saya beri jaminan jika BN diberi mandat semula untuk mentadbir (Selangor), semua masalah ini akan kita selesaikan, masalah air juga akan selesai,” katanya berucap selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Hospital Kajang (Kompleks Wanita dan Kanak-kanak) hari ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, projek naik taraf Hospital Kajang adalah langkah Kajang sebenar berbanding langkah sama dilakukan pembangkang pada tahun 2014 yang disifatkan gagal.

“Ada dua langkah Kajang yang berbeza, pertama yang dilakukan pembangkang pada 2014 tetapi tidak sampai matlamatnya berbanding BN dengan projek Transit Aliran Massa (MRT) dan kali ini projek naik taraf Hospital Kajang.

“Inilah langkah Kajang sebenar yang kita buat, memberi manfaat kepada rakyat, malah naik taraf Hospital Kajang menjadi kenyataan,” katanya.

Mengenai projek naik taraf Hospital Kajang, Perdana Menteri berkata, projek bernilai RM304.5 juta itu membabitkan pembinaan Kompleks Wanita dan Kanak-kanak yang dijangka siap pada tahun 2021.

“Pada 8 September 2015, saya melakukan lawatan mengejut ke Hospital Kajang tanpa memberitahu menteri berkaitan untuk melihat sendiri keadaan sebenar.

“Tiba-tiba saya tercegat di depan (hospital) dan dapat melihat keadaan sebenarnya yang dihadapi rakyat. Memang benar Hospital Kajang terlalu sesak dengan pesakit dan keadaan bangunan terlalu uzur, maklumlah ia dibina sejak tahun 1889.

“Dalam ucapan Bajet 2016, saya mengumumkan Hospital Kajang akan dinaik taraf dengan peruntukan lebih RM300 juta.

“Tetapi Noh bisik kepada saya, apa guna ada hospital moden tetapi air terputus,” katanya.

Kompleks Wanita dan Kanak-kanak Hospital Kajang bakal menempatkan 272 katil, selain 14 bilik bersalin, enam bilik bedah dan kemudahan klinik pakar serta pusat harian.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 April 2018 11:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: