Kategori Berita Utama

Masuk hari ke empat, peralatan canggih belum mampu kesan MH370

11 MAC: Masuk hari ke empat, kehilangan pesawat MH370 kekal misteri tanpa sebarang petunjuk sahih yang dapat membantu pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesan pesawat yang hilang daripada radar sejak 2.40 pagi Sabtu.

Namun, harapan pasukan SAR kini tertumpu  ke kawasan perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Perak, susulan ada isyarat yang diterima oleh Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, bahawa pesawat itu berpatah balik ketika di ruang udara Laut China Selatan.

Turut menerima isyarat pesawat berkenaan berpatah balik sebelum dilaporkan tiba-tiba terbang dengan ketinggian paras 1,000 meter dari kedudukan asalnya 10,000 meter, adalah Unit Kawalan dan Pengawasan Trafik Udara di Singapura.

Berikutan maklumat itu, operasi SAR yang pada mulanya dijalankan di kawasan terakhir pesawat dikesan berhampiran sempadan perairan antarabangsa Malaysia-Vietnam, diperluaskan ke Selat Melaka yang turut meliputi perairan Sumatera dan Laut Andaman. 

sarselatmelaka

Ketua Pengarah Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman(tengah) dalam sidang media menunjukkan lokasi SAR di Selat Melaka

Pada malam kejadian, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Rodzali, mengesahkan pangkalan udara di Butterworth, mengesan isyarat kedudukan pesawat berkenaan yang berpatah balik menghala ke laluan asalnya ke Kota Bharu, Kelantan, sebelum dipercayai melalui ruang udara Pantai Timur dan Utara tanah air.

Menurut beliau, kali terakhir pesawat itu dikesan berada berhampiran Pulau Perak, di perairan Selat Melaka, pada jam 2.40 pagi oleh menara kawalan udara berhampiran sebelum isyarat hilang tanpa sebarang petunjuk.

Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 kru itu kemudian dilaporkan memasuki ruang udara Selat Melaka sebelum isyaratnya kali terakhir dikesan ketika berada berhampiran Pulau Perak, yang masih dalam perairan negara.

Kemungkinan itu disokong dengan laporan polis oleh beberapa penduduk yang mendakwa melihat kelibat cahaya lampu besar dan pesawat terbang rendah, dengan anggaran ketinggian 1,000 meter dari paras laut di Kota Bharu, Kelantan.

Sejak kelmarin, ATM dan Tentera Nasional Indonesia dengan dibantu pasukan keselamatan yang terbabit dalam SAR, menjalankan gerakan mengesan pesawat berkenaan di perairan Selat Melaka dengan skop kawasan dibahagikan kepada lima zon pencarian membabitkan pelbagai pasukan.

Sebanyak 34 pesawat dan 40 kapal milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) beserta kelengkapan dari Thailand, Singapura, China, Indonesia, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat telah dikerahkan untuk operasi mencari dan menyelamat.

Hakikatnya segala teknologi serba canggih  sudah digunakan bagi mengesan 239 penumpang termasuk anak kapal.

Disebalik macam-macam kemungkinan termasuk dirampas, pihak bekuasa juga meneliti pelbagai aspek lain.

Kini rakyat terutama ahli keluarga dalam pesawat tiada pilihan lain kecuali terus berdoa supaya pesawat itu ditemui dalam apa keadaan sekalipun.

Sehingga itu, pelbagai spekulasi dan andaian akan terus berlegar dalam fikiran orang ramai malah ada yang percaya pesawat itu memasuki ‘alam ghaib’.

Sesungguhnya Allah SWT jugalah Maha Mengetahui. -bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 March 2014 8:25 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: