Kategori Berita Utama

Mat Sabu mahu saman Zahid dan KSU KDN dakwa fitnahnya

13 DIS : Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana mendakwa beliau  pengikut ajaran Syiah.

Malah katanya,  tindakan serupa juga akan diambil terhadap Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi kerana didakwa mengemukakan ‘bukti’ yang memfitnahnya.

“Saya telah menghubungi peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap fitnah Naib Presiden UMNO dan KSU Kementerian Dalam Negeri terhadap saya,” kata beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam satu kenyataan.

Zahid akan adakan sidang media khas di KDN bagi tunjukkan pelbagai bukti mengenai pemimpin No. 2 PAS pengikut Syiah

Mat Sabu dakwa Zahid dan KSU KDN fitnah beliau isu Syiah

Mat Sabu berkata beliau yakin bukti yang didedahkan KDN pada Khamis adalah satu fitnah yang cuba menjatuhkan imej dan kredibiliti beliau sebagai pemimpin nombor dua PAS.

“Kita yakin sidang media pendedahan bukti yang mendakwa saya pengamal ajaran syiah itu dibuat lanjutan daripada kenyataan Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

“Kenyataan beliau memang tidak bertanggungjawab. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan dalam satu kes membanteras jenayah seperti, ‘tembak dulu, baru siasat’,” katanya.

Mat Sabu menegaskan kenyataan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut memberi imej buruk kepada kerajaan dan negara ini.

Pada Khamis, Abdul Rahim dalam satu sidang media mendedahkan beberapa bukti yang mengaitkan Mat Sabu sebagai seorang pengikut ajaran Syiah.

Antara lain, beliau mendakwa Mat Sabu sering membaca ‘Selawat’ mengikut ajaran Syiah serta menyatakan rasa kagumnya terhadap kempimpinan dan perjuangan ulama Syiah Iran, Imam Khomeini yang merupakan ikon mazhab tersebut.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Ahmad Zahid mendakwa pemimpin nombor dua PAS cenderung dan terlibat fahaman syiah. –bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 December 2013 12:48 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: