Kategori Berita Utama

Mat Sabu sokong PKR, perlekeh kenyataan pemimpin PAS lain

29 JAN: PKR yang sudah dirasuk ‘Sawan Politik’ dengan merancang peletakkan jawatan Adun Kajang supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bertanding, kini terpaksa berpaut kepada pemimpin PAS atau kumpulan Anwarinas yang selama ini dilihat menyokong mereka setelah beberapa pemimpin PAS lain mengecam tindakan PKR itu.

Bukan sahaja Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali terpaksa memujuk Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad malah Anwar sendiri dilihat menggunakan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bagi menunjukkan seolah-olah PAS menyokong rancangannya bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang tidak lama lagi.

Semuanya kerana PAS Selangor kecewa disebabkan PKR tidak memaklumkan rancangan parti itu mengadakan PRK supaya Anwar dicalonkan sedangkan parti itu sekutu dalam pakatan rakyat termasuk DAP.

anwarmatsabu

Mat Sabu memang diketahui rapat dengan Anwar

Bukan setakat itu sahaja, PAS Selangor juga mahu menamakan Iskandar sebagai calon Menteri Besar sekiranya PKR mahu menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sama ada dengan Anwar ataupun Adun PKR yang lain.

Kecaman secara terbuka pemimpin PAS Selangor termasuk bekas Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan Tantawi mula membimbangkan PKR sehingga memaksa Azmin bertemu Iskandar pada Ikhamis bagi menjelaskan tujuan PRK tersebut.

Anwar pula sudah memanggil Mohamad dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkifly Ahmad pada sidang media di ibu pejabat PKR petang Rabu.

Tujuannya mungkin mahu menunjukkan seolah-olah PAS Pusat menyokong tindak tanduk PKR dalam isu peletakan jawatan Adun Kajang Lee Chin Cheh tanpa sebab munasabah sebaliknya semata-mata untuk membuka laluan Anwar bertanding bagi kepentingan politiknya.

Rancangan Anwar berhasil  apabila Mohamad memperlekeh segala pandangan dan kecaman pemimpin PAS Selangor dan Nasrudin dengan menyatakan semua itu kenyataan peribadi apabila media bertanya komennya berhubungi kritikan pemimpin-pemimpin PAS negeri berhubung isu itu.

“PAS tak kata (tak sokong), saya ada ni. Itu pandangan peribadi, bebaslah (beri pandangan). (Datuk Seri) Rosmah (Mansor) pun ada pandangan peribadi. Tidak, saya PAS. Tidak ada kenyataan itu (tak sokong). Sesiapa boleh bagi pandangan,” katanya.

Ketika didesak berulang kali oleh wartawan sama ada PAS mahu letak calon Menteri Besar, Mohamad  atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu terus berkeras mahu menafikan cadangan PAS mahu menamakan Iskandar yang  juga Adun Chempaka serta anggota Exco sebagai calon menggantikan Khalid.

“…Lah, ini dia Timbalan Presiden PAS. Mana ada. Kita akan mesyuarat, minta pandangan mereka.,” katanya.

Mat Sabu menegaskan apa sahaja pendirian PAS akan diputuskan setelah Jawatankuasa PAS Pusat yang dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bermesyuarat.

Beliau menggesa semua ahli dan pemimpin PAS bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana.

“Walaupun ada pandangan suara tertentu, keputusan muktamad adalah arahan dari Presiden PAS. Kita kena patuh keputusan yang dikeluarkan,” kata beliau kepada pemberita selepas selesai sidang media berkenaan.

Namun, penjelasan Mat Sabu hanya mengesahkan sokongan kumpulan PAS yang pro kepada Anwar atau dikenali Anwarinas yang dikatakan lebih menghormati Ketua Pembangkang itu berbanding Hadi.

Terdahulu, Anwar dalam sidang media tersebut berkata, beliau akan memberi penjelasan kepada terperinci kepada pemimpin tempatan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Kajang.

“Saya akan berikan penjelasan terperinci di Kajang. Kami kena jelaskan kepada mereka terperinci hal ini. Kena selesaikan isu-isu berkaitan. Saya rasa mereka nak dengar dari saya sendiri mengapa saya buat keputusan bersetuju untuk bertanding.

“Saya beritahu PAS dan DAP kadangkala, tekanan kita, tak beri ruang untuk bincang panjang walau makluman disampaikan. Saya terima teguran itu dengan baik dan saya tahu kena ada penjelasan diberikan dalam masa terdekat,” ujar beliau.

Untuk rekod selain PAS, kumpulan Bersih 2.0 turut mengecam tindakan PKR itu yang dilihat satu pembaziran dan tidak menghormati undi rakyat kepada bekas Adun Kajang tersebut pada PRU lalu.

Anwar juga mengesahkan beliau telah menukarkan alamat di dalam kad pengenalan beliau.

“Syarat residen ada. Rumah ayah saya di Kajang, Country Height. Dan saya pun sering ke situ, tiada masalah,” katanya.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 29 January 2014 10:48 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: