Kategori Berita Utama

Mat Sabu tak akan beri bukti, KDN serah pada Jakim

15 DIS  :Isu Mohamad Sabu atau Mat Sabu dikaitkan dengan Syiah belum nampak penghujung dengan beliau menegaskan, tidak akan memberikan bukti bagi menafikan dakwaan terhadapnya itu.

Timbalan Presiden PAS itu berpendapat bukti mestilah datang daripada pihak yang menuduh.

Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Sabtu meminta Mat Sabu mengemukakan bukti bahawa dirinya tidak terlibat dengan fahaman Syiah.

Penolong setiausaha bahagian keselamatan dan ketenteraman awam KDN, Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata, Mat Sabu juga perlu berhujah secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti yang dikeluarkan KDN Khamis lalu.

“… tidak kiralah sama ada secara bersemuka dengan KDN, jawab dalam YouTube atau dalam surat khabar,” katanya.

hadimatsabu Mingguan Malaysia melaporkanm pegawai berkenaan berkata, individu terdekat dan rapat dengan Mat Sabu turut menyatakan kesediaan untuk menjadi saksi mahkamah jika diperlukan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad menjelaskan, 10 bukti yang didedahkan kementeriannya sebelum ini hanyalah bukti gred B.

Ujarnya, KDN akan menyerahkan semua bukti yang mengaitkan orang nombor dua PAS itu kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.

“Segala bukti termasuk bukti gred A akan diserahkan kepada Jakim kerana kami (KDN) terlibat soal keselamatan manakala soal akidah kita serah kepada pihak berkuasa agama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh, Perak.

Dalam pada itu, Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan melalui laman Facebooknya supaya Mat Sabu mengakui kepimpinan dua sahabat Rasulullah SAW iaitu Saidina Abu Bakar As Shiddiq dan Saidina Umar Bin Khattab sebagai bukti tidak terlibat fahaman Syiah.

Katanya, Mat Sabu perlu mengistiharkan kepada umum kepimpinan dua sahabat Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang sah.

“Mudah saja, kalau Mat Sabu bukan Syiah dia hendaklah mengisytiharkan pada umum bahawa beliau mengakui kepimpinan Abu Bakar dan Umar sebagai pemimpin yang sah lagi berada atas landasan petunjuk ALLAH dan Rasul-NYA,” tulisnya.

Selain itu, ada juga pihak menggesa beliau mengangkat sumpah menafikannya.

Setakat ini, Mat Sabu belum memutuskan tindakan mahu menyaman Zahid dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi atas alasan memfitnahnya.

Mohamad dijangka bertemu peguamnya bagi membincangkan perkara itu Isnin malam. –bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 December 2013 8:21 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: