Kategori Berita Utama

MB Kelantan ucap terima kasih kepada Najib

6 MAC: Bukan hanya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang makin selesa berurusan dengan Kerajaan Persekutuan, malah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob juga pada Khamis mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Najib ketika menggulung perbahasan titah ucapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim, Kota Baharu.

Ahmad Yakob rakam ucapan terima kasih kepada Najib dalam sidang DUN Kelantan

Ahmad Yakob rakam ucapan terima kasih kepada Najib dalam sidang DUN Kelantan

Ucapan itu kerana Najib sudi menerima kunjungannya dalam satu pertemuan yang diadakan pada 28 November lalu.

Ahmad turut mendedahkan butiran pertemuan itu kepada sidang DUN Kelantan dengan berkata banyak yang dibangkitkan demi kepentingan rakyat Kelantan.

Antaranya, menurut Ahmad, seperti masalah migrasi air, soal berkaitan pengagihan royalti petroleum sehinggalah kepada pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

“Saya amat berterima kasih kerana Perdana Menteri sudi menerima kunjungan dan diberi peluang (untuk bertemu).

“Ini semua untuk kepentingan rakyat Kelantan. Banyak perkara yang telah kami bincangkan,” kata Ahmad.

Menurut Ahmad, mengenai hukum hudud, terdapat beberapa perkara yang positif dan Najib telah meminta perkara itu diperbincangkan di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM ) dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK).

Mengulas lanjut Ahmad berkata, antara perkara lain yang dibangkitkan adalah permohonan pembinaan lebuh raya, pembinaan Jambatan Palekbang di Kampung Cina dan menaik taraf beberapa projek pembangunan.

“Insya-Allah dengan kerjasama kedua-dua pihak (kerajaan Pusat dan negeri) akan mempercepatkan kemudahan ini dilaksanakan di Kelantan,” katanya.

Persidangan DUN Kelantan kemudiannya ditangguhkan kepada satu tarikh lain.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 March 2014 11:45 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: