Kategori Berita Utama

MB nafi umum projek bina Empangan Kahang

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan dakwaan beliau telah mengumumkan bahawa projek pembinaan Empangan Kahang yang menelan belanja RM105 juta akan bermula November ini.

Menteri Besar Johor itu berkata, tuduhan ADUN Mengkibol, Tan Hong Pin tidak berasas kerana beliau tidak ada membuat sebarang sidang media yang kononnya diadakan selepas selesai taklimat berkenaan pembinaan empangan terebut.

“(Projek) Itu sedang dikaji, pertama saya tidak pernah buat apa-apa sidang media selepas taklimat tersebut, jadi daripada mana dia kata datang daripada saya?,” soalnya.

khalidnordin “Hanya secara sepintas lalu saya keluar dari majlis taklimat dan saya ditanya oleh wartawan dan saya kata taklimat itu adalah mengenai usul untuk kita membina Empangan Kahang dan sebagainya.

“Tidak ada banyak soalan yang dikemukakan,” katanya ketika ditemui dalam majlis Perasmian Pelaksanaan Program Rendah Karbon Iskandar Malaysia dan Aplikasi Telefon Pintar untuk Pelancong yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen, Rabu.

Tan sebelum ini mendakwa beliau tidak diberikan penerangan yang jelas berhubung projek pembinaan Empangan Kahang.

Dakwa beliau, Khaled telah mengadakan sidang media kononnya projek ini tidak melibatkan pemindahan penduduk atau pengambilan tanah. Sebaik sahaja projek ini selesai, pembekalan air di Kluang akan terjamin sehingga tahun 2035 dan masalah banjir di Kluang juga boleh diselesaikan.

Dalam artikelnya yang telah disiarkan oleh portal pro pembangkang Malaysiakini, beliau telah menimbulkan tiga persoalan iaitu bagaimanakah projek pembinaan dapat bermula sebelum laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling Terperinci (DEIA) diluluskan?, adakah benar tiada sebarang tanah yang akan diambil untuk kegunaan pembinaan Empangan Kahang dan bagaimanakah pembinaan Empangan Kahang menyelesaikan masalah banjir di Kluang?

Khaled dalam responnya berkata, segala persoalan yang ditimbulkan oleh Tan akan diberikan penjelasan secara rasmi dalam masa terdekat.

“Apa yang dinyatakan itu akan diulas secara rasmi dalam Dewan Negeri,” katanya. -6/11/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 November 2013 2:11 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: