Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

MBPJ takkan bertanggungjawab jika polis ambil tindakan

12 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan pihak polis yang akan diambil kepada penganjur himpunan ‘Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’.

Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sebagai pemilik lot, pihaknya tiada masalah memberi kebenaran untuk menggunakan lokasi berkenaan, namun soal berkaitan undang-undang wajar diajukan kepada pihak polis.

“Itu (tindakan polis) atas penganjur bukan kita. Kita bagi kebenaran untuk himpunan.

“Kalau pihak MBPJ, padang tu memang kita tiada halangan. Kita beri kebenaran kepada penganjur untuk adakan di Padang Timur. Jadi tiada isu dengan kita.

“Itu kena tanya (polis) tapi bagi pihak MBPJ mereka boleh guna padang itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Apresiasi peringkat negeri Selangor di Dewan Jubli Perak hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai larangan polis terhadap penganjur iaitu Pakatan Harapan (PH) daripada menggunakan Padang Timur sebagai lokasi himpunan pada Sabtu ini.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din memaklumkan pihaknya tidak bersetuju dengan pemilihan Padang Timur sebagai lokasi himpunan berdasarkan faktor mengganggu penumpang sistem transit aliran ringan (LRT) di Taman Jaya dan perkhidmatan bas di sekeliling kawasan itu.

Mohd Zani juga menyebut terdapat bantahan daripada penduduk di sekitar kawasan tersebut memandangkan Petaling Jaya sebagai laluan utama ke Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan terbaru, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun dalam kenyataannya semalam meminta penganjur menukar ke Stadium Kelana Jaya bagi mengelakkan masalah lalu lintas.

Mohd Fuzi dalam kenyataanya pada semalam juga menegaskan tindakan boleh diambil terhadap PH jika mereka tetap berdegil meneruskan acara itu di Padang Timur.

Mohd Azizi juga menambah, pihak MBPJ akan menghantar pegawai penguatkuasanya untuk memantau dan menjaga keselamatan di lokasi.

“Itu sudah pasti, oleh kerana Padang Timur itu kawasan kita, kita akan pastikan penguatkuasa akan jaga trafik dan sebagainya,” katanya lagi.

Share This:




Berita Bertarikh pada 12 October 2017 6:41 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]