Kategori Berita Utama

MCA: DAP parti terpinggir

9 JAN: Pengagihan kerusi pilihan raya bagi kawasan parlimen di semenanjung yang diputuskan Pakatan Harapan (PH) menunjukan tanda bahawa DAP diketepikan, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Berdasarkan pengagihan kerusi pilihan raya, jelas menunjukkan PPBM yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad mengatasi parti lain dalam gabungan itu.

“DAP yang berada di tempat ketiga dalam jumlah pengagihan kerusi hanyalah pelakon tambahan.

“Apabila PPBM yang merupakan parti terakhir menyertai PH yang mendapat paling banyak kerusi sementara DAP hanya mendapat 35, ini menunjukkan DAP dipinggirkan tanpa sebarang kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bentong itu mengulas keputusan PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dalam konvensyen pada Ahad.

Selain itu, pengagihan kerusi antara parti komponen yang menyaksikan PPBM mendapat 52 kerusi, PKR (51), DAP (35) kerusi dan PAN (27).

Pada masa sama, Tiong Lai menggesa agar pengundi Cina memberi pengajaran kepada veteran DAP, Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng dalam pilihan raya umum kerana membuat pengkhianatan apabila bekerjasama dengan Dr Mahathir.

“Mereka lupa bahawa orang itu yang dulu mereka tuduh merosakkan sistem demokrasi negara.

“DAP tidak seharusnya mengambil mudah merampas pendapat awam dan berpura-pura berjuang untuk demokrasi namun bertindak sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA itu turut mendakwa PH tidak berjuang untuk demokrasi, sebaliknya hanya menumpukan kuasa eksekutif negara kepada keluarga Dr Mahathir, Anwar dan Lim Kit Siang.

“Hari ini, Dr Mahathir berkata dakwaannya bahawa ‘Anwar secara moral tidak sesuai jadi perdana menteri’ sudah menjadi sejarah.

“Semua ini menunjukkan bahawa Guan Eng, Anwar dan Mahathir mempunyai satu persamaan, mereka menghalalkan cara demi matlamat mereka,” kata Tiong Lai lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 January 2018 8:02 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: