Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

MCA di Wangsa Maju,UMNO di Bandar Tun Razak?

14 APRIL: Keputusan parti komponen Barisan Nasional (BN) sama ada akan bertanding di Parlimen Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak akan dimuktamadkan sehari sebelum hari penamaan calon.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, memaklumkan dua kerusi tradisi MCA itu kini masih dalam proses rundingan dan ia akan diputuskan berlandaskan semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN).

Katanya, tumpuan utama BN dalam rundingan di dua kerusi itu, yang sebelum ini dimenangi pembangkang, adalah untuk memastikan BN menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

“Semua kerusi itu termasuk yang kita ‘swap’ (bertukar), kita bincangkan melalui semangat dan setiakawan dalam BN. Ia tidak akan diuar-uarkan menerusi media.

“Sehari sebelum hari penamaan calon akan putuskan. Paling penting sekali kita mahu memenangkan BN,” katanya pada sidang media selepas hadir Program Santai Sertik Bersama Pemimpin di FELDA Sertik, hari ini.

Kerusi Parlimen Wangsa Maju dipinjamkan MCA kepada UMNO pada PRU Ke-13 dan ada ura-ura mengatakan MCA mahukan kembali kerusi berkenaan bagi membolehkan calonnya bertanding pada PRU kali ini.

Situasi itu dikatakan menjadi punca wujud gesaan segelintir ahli akar umbi UMNO di Wangsa Maju yang mahukan supaya kerusi itu kekal ditandingi UMNO.

Sementara itu, bagi kerusi Bandar Tun Razak, ia sememangnya menjadi kerusi tradisi MCA, namun pada PRU kali ini, UMNO berminat untuk meletakkan calon di kawasan berkenaan, berikutan pecahan kaum adalah majoritinya Melayu.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, disebut-sebutkan akan bertanding di kerusi berkenaan, namun ketika ini ia hanya spekulasi.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 April 2018 11:16 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: