Kategori Analisa Isu Semasa

MCA rayu PM tangguh penamatan kontrak lantikan politik

18 MEI: Kedatangan Ramadhan sepatutnya disambut dengan perasaan gembira oleh umat Islam di negara ini.

Namun tidak bagi 17,000 orang penjawat awam berstatus kontrak yang ditamatkan perkhidmatan pada 16 Mei lalu kerana ia merupakan perlantikan politik dari pentadbiran kerajaan terdahulu.

Saya boleh bayangkan ketidakcelaruan dalam benak fikiran mereka yang bergaji rendah ini untuk memikirkan masa depan keluarga masing-masing, apatah lagi untuk menyambut Ramadhan dan Syawal yang mendatang.

Saya menghormati keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, kerana saya memahami antara alasan penamatan kontrak itu adalah bagi tujuan menjimatkan kewangan kerajaan.

Sungguhpun begitu saya merayu agar Y.A.B Perdana Menteri dapat memberi pertimbangan supaya penamatkan kontrak itu dapat ditangguhkan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.

Saya mohon kepada Y.A.B supaya kasihanilah golongan ini yang sudah pasti akan terkontang kanting dan tidak keruan pada bulan yang mulia ini.

Saya percaya penangguhan penamatan kontrak itu juga akan membolehkan golongan ini mempunyai masa yang mencukupi untuk mencari pekerjaan lain bagi menanggung keluarga.

Islam adalah agama rasmi dan kedudukannya di jamin di dalam perlembagaan persekutuan. Saya yakin Kerajaan Pakatan Harapan menyedari hakikat ini dan prihatin terhadap nasib penjawat beragama Islam.

Berilah mereka peluang melaksanakan ibadah berpuasa dalam keadaan yang selesa.

Sebagai anak Malaysia yang berasal dari Kampung Melayu, sejak kecil lagi saya telah dimaklumkan oleh jiran-jiran Melayu bahawa berpuasa di bulan Ramadhan adalah rukun keempat dalam Islam. Bagaimanakah penjawat-penjawat awam yang beragama Islam mampu menunaikan rukun itu jika poket mereka kosong kerana ketiadaan kerja?

Saya yakin, sebagai Perdana Menteri, Y.A.B mempunyai prerogatif untuk mengubah keputusan yang telah dibuat atas dasar berperikemanusiaan.

Semoga rayuan saya ini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Y.A.B Perdana Menteri.

*Datuk Seri Ir Wee Ka Siong adalah Timbalan Presiden MCA dan Ahli Parlimen Ayer Hitam

InI adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian BNBBC.my.portal 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 May 2018 4:55 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: