Kategori Berita Utama

Kerajaan perkenalkan mekanisma bantu penghutang sebelum diisytihar bankrap

28 NOV: Generasi muda yang dibelenggu masalah hutang disaran mendapatkan bantuan Jabatan Insolvensi Malaysia sebelum prosiding kebankrapan diambil ke atas mereka.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, menerusi pindaan Akta Insolvensi 1967 yang baru sahaja berkuat kuasa pada 6 Oktober lalu, kerajaan memperkenalkan mekanisma penyelamat sebagai ‘volunteery arrangement’ atau perkiraan sukarela bagi membantu penghutang menyelesaikan masalah mereka.

“Tujuannya bagi mengelak prosiding kebankrapan diambil terhadap mereka.

“Maknanya apabila mereka akan menghadapi tindakan mahkamah dan tahu mereka akan dibankrapkan, maka pergilah ke Jabatan Insolvensi secara perkiraan sukarela untuk berbincang mengatasi masalah hutang mereka.

“Ini akan membantu menyelesaikan hutang terutamanya kepada generasi muda,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, Selasa.

Abdul Azeez yang bimbang dengan jumlah kebankrapan golongan muda mempersoalkan apakah langkah pro aktif kerajaan untuk mengelakkan golongan muda diisytihar muflis.

Kebankrapan golongan muda yang sepatutnya menjadi pemangkin pembangunan negara mencetuskan kebimbangan apabila 23,036 yang berumur antara 25 sehingga 34 tahun telah disahkan muflis dari tahun 2013 sehingga Ogos tahun ini.

Manakala 1,109 golongan muda yang berusia di bawah umur 25 tahun telah disahkan muflis.

Bagaimanapun menurut Azalina, mekanisma penyelamat ini hanya diberi kepada generasi muda, sebaliknya semua golongan peringkat yang menghadapi masalah hutang boleh pergi Jabatan Insolvensi bagi mendapatkan perkhidmatan mekanisma tersebut.

“Mekanisma ini memberi peluang kepada penghutang dan pemiutang melalui skim pembayaran yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.

“Jabatan Insolvensi akan membantu mereka mendapatkan persetujuan pembayaran dan mengelakkan prosiding kebankrapan dijalankan.

“Namun sekiranya penghutang gagal menjelaskan hutangnya selepas itu, maka barulah pemiutang boleh meneruskan prosiding seterusnya (kebankrapan) diambil kepada penghutang,” kata Ahli Parlimen Pengerang itu lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 28 November 2017 2:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: