Kategori Berita Utama

Memandangkan isu lain tak menjadi PH peralat isu DoJ- JASA

30 JUN: Pembangkang kini tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menggunakan isu saman sivil Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menggerakkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan, seterusnya menutup kecelaruan yang berlaku sesama mereka.

Pengarah Strategik Komunikasi JASA, Tun Faisal Ismail berkata, isu saman DoJ itu merupakan satu-satunya isu yang ‘berguna’ kepada pembangkang buat masa kini selepas beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini ‘tidak menjadi’.

“Kalau mereka anggap bahawa pilihan raya akan berlangsung dalam masa terdekat, dan mereka tak ada perkara lain (untuk dibangkitkan), maka mereka gunakan isu ini.

“Seperti kes (Datuk Seri) Anwar, telah terbukti di mahkamah, jadi mereka tak boleh lagi gunakan isu itu. Jadi mereka lihat sokongan terhadap kerajaan semakin baik, indikator ekonomi makin baik, pengiktirafan terhadap Datuk Seri Najib pun makin baik.

“Jadi mereka tak ada benda lain dah selain terpaksa buat kekecohan untuk gerakkan kemarahan rakyat, yang pada masa sama mereka nak tutup juga isu-isu di Pulau Pinang, di Selangor yang sebenarnya tak selesai,” katanya kepada Antarapos.

Rabu lalu, Pakatan Harapan (PH) bersama beberapa parti pembangkang membentuk Jawatankuasa Bertindak 1MDB sebagai langkah mereka menangani isu saman sivil DoJ terhadap beberapa aset didakwa diperolehi melalui salah guna dana 1MDB.

Jawatankuasa itu juga mengumumkan akan menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara yang diakhiri dengan himpunan kemuncak bertemakan “Sayang Malaysia Hapuskan kleptokrasi” bagi mendesak penerangan kerajaan berkaitan dakwaan skandal 1MDB.

Mengulas lebih lanjut, Tun Faisal berkata, pembangkang sememangnya berniat untuk mencetuskan kekecohan menjelang pilihan raya sedangkan mereka boleh mengemukakan cadangan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai secara bersama dengan wakil kerajaan.

“Kerajaan dah tubuhkan PAC, wakil pembangkang pun ada dalam jawatankuasa itu. Sepatutnya mereka jelas bahawa 1MDB tiada isu kehilangan duit, dan kalau kita kaji isu DoJ, pihak yang hilang duit ialah IPIC (International Petroleum Investment Co) di Abu Dhabi, bukan 1MDB.

“Cuma rakyat masih keliru dan mereka ambil kesempatan atas kekeliruan ini untuk sengaja cetuskan kekecohan memandangkan mereka sudah tak ada isu untuk dibangkitkan menjelang pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu kata Tun Faisal, selain mahu menutup kelemahan di negeri-negeri taklukan mereka, pembangkang juga menggunakan isu DoJ untuk menutup pertelingkahan berterusan sesama mereka khususnya bersabit calon perdana menteri.

“Tutup kelemahan di negeri-negeri (taklukan), keduanya mereka mahu buat sesuatu untuk dapatkan balik kesatuan di kalangan pembangkang, mereka nak tutup kelemahan dalaman, pertikaian, asyik bergaduh dan sebagainya.

“Masing-masing anggap ini satu-satunya isu boleh berpakat. Mereka tak boleh pakat isu hudud, isu Anwar, calon PM…jadi satu-satunya untuk bergerak bersama, maka isu ini lah,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 June 2017 3:50 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: