Kategori Berita UtamaTragedi MH370

MH370: Parlimen lulus usul ucapan takziah sebulat suara

25 MAC: Dewan Rakyat pada Selasa sebulat suara bersetuju menerima usul ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi MH370 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, selepas dibahaskan beberapa Ahli Parlimen yang mewakili parti masing-masing.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad yang turut membahaskan usul  berkenaan mencadangkan supaya kerajaan melihat secara serius keupayaan kelengkapan teknologi dan kebolehan Malaysia dalam usaha Mencari dan Menyelamat (SAR).

“Kita harus melihat kekurangan sendiri dan melihat kembali apa yang patut kita lakukan kiranya peristiwa seperti ini berulang…minta dijauhi Tuhan ia tak berlaku lagi. Kalau ia berlaku di negara jiran, mereka juga akan meminta pertolongan kita.

TSS sokong usul takziah MH370“Peristiwa itu harus dijadikan detik perubahan untuk kita melihat secara serius soal kelengkapan, teknologi dan kebolehan dalam soal Mencari dan Menyelamat (SAR). Negara kita dikeliling laut dan rakan-rakan kita berdepan dengan keadaan yang sama,” katanya.

Shahrir turut menyokong cadangan Najib supaya tragedi berkenaan tidak dipolitikkan atau dipersendakan oleh mana-mana pihak.

“Alhamdulillah hari ini kita sudah boleh berdepan dengan kenyataan bahawa data satelit merekodkan penerbangan MH370 telah tamat di Lautan Hindi Selatan.

“Namun begitu, walaupun kita bersetuju ia tak harus dipolitikkan, kita mesti memikirkan bagaimana untuk berdepan dengan tragedi atau krisis dengan cara yang matang dan tidak mempersendakan keadaan,” katanya.

Shahrir mengingatkan kerajaan pasti berdepan dengan polemik lebih mencabar selepas ini kerana mungkin akan timbul persoalan atau cadangan mahu berkabung dan sebagainya.

Bagaimanapun, kata Shahrir, sebagai orang Islam yang mengikut Mazhab Shafie, pandangannya tentu berbeza degan Mazhab lain.

Bung Sokong Takziah MH370Turut berbahas menyokong usul Najib ialah Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Radin Mokhtar yang mewakili rakyat Sabah, Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Manakala barisan pembangkang diwakili oleh Ahli Parlimen Gelang Patah dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfudz Omar, serta Ahli Parlimen PKR Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein ketika menggulung usul berkenaan memaklumkan Dewan Rakyat bahawa cuaca buruk telah mengganggu usaha mencari serpihan pesawat MH370 di kawasan pencarian yang telah dikenalpasti oleh satelit.

Katanya operasi yang tergendala itu akan akan dipercepatkan sebaik cuaca kembali cerah.

“Ini adalah cabaran yang berkisar kepada cabaran, diplomasi, teknikal, logistik dan mengumpulkan kepakaran untuk memastikan operasi mencari dan menyelamat dapat diteruskan secara tersusun, konsisten dan telus.

“Ini supaya sekurang-kurangnya keluarga mangsa tahu bahawa kita serius untuk memenuhi aspirasi dan kehendak mereka,” katanya.

Menjawab soalan Kit Siang mengapa perlu diadakan sidang media oleh pelbagai agensi kerana ia akan mengelirukan orang ramai, Hishamuddin berkata, sidang media diadakan oleh Kementerian Pengangkutan setiap hari supaya mereka dapat memaklumkan kepada dunia perkembangan terkini usaha mencari dan menyelamat.

Manakala Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) telah diberikan tugas mengendalikan urusan hal ehwal keluarga penumpang dan kakitangan.

“Ia akan berterusan setiap hari supaya sekurang-kurangnya perkara mengenai keluarga dan penumpang dapat diuruskan,” katanya.

Hishamuddin berkata, tumpuan utama pencarian kini adalah bagi menentukan serpihan yang telah dikenalpasti oleh tiga satelit.

Selepas itu ia akan diikuti dengan usaha mencari kotak hitam pesawat yang memerlukan memerlukan teknologi paling canggih di dunia di mana hanya negara-negara tertentu yang memilikinya.

Kata Hishamuddin lagi, usaha SAR bersepadu yang membabitkan 26 negara ini seharusnya dijadikan iktibar kepada Malaysia dan dunia.

Tegas beliau, di sebalik pelbagai tuduhan dan spekulasi oleh media asing serta tempatan, dunia hari ini dapat melihat bagaimana rakyat negara ini bersatu tanpa mengira warna kulit, agama dan kedudukan.

“Saya lihat ia sebagai satu hikmah di mana kita mendapat sokongan dari negara-negara luar dan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Cina boleh bekerjasama berkongsi maklumat dan aset….mendedahkan pesawat-pesawat paling canggih di dunia.

“Kapal-kapal dari China bekerjasama dengan Jepun dan negara-negara ASEAN juga bersatu untuk berkongsi data.

“Itu hikmah yang kita perolehi dalam ujian getir ini, di mana dalam apa juga perkara kita hadapi bersama. Ini patut menjadi satu contoh kepada dunia hari ini yang penuh dengan perpecahan, kebencian dan perbalahan,” ujar Hishamuddin yang juga Menteri Pertahanan.

Menjawab soalan Mahfuz, Hishamuddin berkata jawatankuasa audit di peringkat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Pengangkutan telah ditubuhkan serentak dengan pelanncaran SAR sebelum ini.

Malah, kementerian beliau juga bersedia mencadangkan agar ditubuhkan jawatankuasa khas di peringkat Parlimen atau Suruhanjaya di Raja.

Saksikan rakaman penuh video berkenaan bermmula daripada pembentangan usul tergempar berkenaan oleh Perdana Menteri, perbahasan oleh ahli Parlimen sehinggalah kepada penggulungan perbahasan oleh pemangku Menteri Pengangkutan dan akhirnya disokong sebulat suara dalam pengundian.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 March 2014 5:20 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: