Kategori Berita Utama

MH370: Petunjuk baru dari satelit China selain di Australia

22 MAC: Dua objek yang dikesan dalam imejan satelit Australia di selatan Lautan Hindi setakat ini belum dapat disahkan sama ada ada mempunyai kaitan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Sabtu.

Beliau berkata, tiada perkembangan baru dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Boeing 777-200ER itu yang akan masuk hari ke 16 esok.

“Tiada perkembangan dan keadaan adalah sama seperti semalam, tetapi boleh dikatakan lebih banyak aset akan digunakan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat harian mengenai operasi SAR pesawat berkenaan di Hotel Sama Sama, Sepang.

Sehubungan itu, beliau berkata kawasan pencarian di koridor selatan di Lautan Hindi yang diketuai pihak berkuasa Australia hari ini diperluas kepada 10,500 batu persegi

Hishammuddin berkata, jika misi SAR di selatan Lautan Hindi itu gagal mengenal pasti objek itu, terdapat keperluan untuk kembali ke dua “koridor pencarian” yang dikenal pasti sebelum ini.

Hishammuddin menunjukkan nota dari Duta Besar China di Malaysia, Huang Huikang mengenai objek terapung sebesar 22.5x13 meter yang dikesan satelit negara itu di koridor selatan Lautan Hindi

Hishammuddin menunjukkan nota dari Duta Besar China di Malaysia, Huang Huikang mengenai objek terapung sebesar 22.5×13 meter yang dikesan satelit negara itu di koridor selatan Lautan Hindi.

Mengenai sama ada terdapat data baru satelit, Hishammuddin berkata tiada laporan penemuan dalam radar mengenai MH370 di negara sebelah koridor utara setakat ini.

Beliau hanya menerima data satelit dari China terutamanya, kerana mereka mempunyai sehingga 21 buah satelit di ruang angkasa.

“Berita yang baru saya terima daripada Duta Besar China (Huang Huikang) bahawa satelit negara itu kesan objek terapung di koridor selatan dan aset mereka sedang bergerak ke sana,” katanya sambil membacakan nota kecil di tangannya.

Beliau bagaimanapun tidak mempunyai maklumat lebih terperinci, namun memaklumkan kerajaan China akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat.

Latest Imej Satelit China

Imej objek terapung yang dikatakan dicerap oleh satelit milik China, Sabtu.

“Tetapi tiada yang berwibawa ketika ini. Saya boleh sahkannya,” tegas beliau yang juga Menteri Pertahanan.

Dalam pada itu, pusat media bagi petugas yang membuat liputan kehilangan MH370 akan dipindahkan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur berkuat kuasa Ahad, 23 Mac.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, langkah itu berikutan komitmen Hotel Sama-Sama di Sepang kepada tetamu yang datang sempena perlumbaan Grand Prix Formula 1 yang bermula minggu ini.

“PWTC dipilih bagi penempatan semula itu disebabkan kemudahan dan ketersediaan bilik hotel di kawasan berhampiran yang dapat memenuhi keperluan media,” kata kenyataan itu.

Sidang media akan diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, di Aras 2 PWTC manakala tempat bekerja petugas media pula terletak di Dewan Mawar, di Aras 2.

Mengenai keluarga mangsa, Hishamuddin berkata taklimat kepada keluarga di Kuala Lumpur semalam berjalan lancar.

Namun taklimat kepada keluarga mangsa yang berada di Beijing, kurang produktif.

“Walaupun dengan niat terbaik, saya difahamkan wujud suasana tegang. Kami berusaha gigih dengan pihak berkuasa China dan kumpulan kerja China untuk menyediakan suasana yang lebih kondusif untuk taklimat,” katanya sambil menambah arahan telah diiberikan agar dikaji kedua-dua taklimat sebelum ini bagi memperbaiki kelemahan yang ada.

“Kami merayu kepada semua pihak agar memahami semasa keadaan luar biasa dan sukar ini. Rayuan saya kepada semua keluarga, di mana juga mereka berada adalah sama…kami akan melakukan segala yang ada di bawah kuasa kami untuk terus memaklumkan perkembangan kepada anda,” kata Hishamuddin.

Pesawat MH370 itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi Sabtu, 8 Mac lalu, tetapi hilang secara misteri daripada skrin radar selepas kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam hari yang sama.

Pesawat malang itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 March 2014 7:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: