Kategori Ekonomi

MITI salur geran RM8.1j kepada 316 usahawan muda

13 FEB: Sebanyak RM8.1 juta peruntukan dalam bentuk geran telah disalurkan kepada usahawan muda di Terengganu melalui 316 syarikat milik mereka oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak 2014.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usaha bagi membantu mencambah dan menjana perniagaan golongan itu dilakukan berterusan di bawah Program Peningkatan Perusahan Kecil dan Sederhana Bumiputera (BEEP) dan Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang diperkenalkan oleh SME Corp. Malaysia.

“MITI melalui agensi di bawahnya sentiasa komited dalam membangunkan dan memperkasakan usahawan muda terutama yang mengendalikan syarikat bersaiz mikro dan kecil untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menambah baik mutu produk serta perkhidmatan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada media ketika melakukan lawatan kerja ke Inkubator Desa, Pulau Serai, Dungun hari ini yang menempatkan operasi enam syarikat usahawan termasuk dua di bawah bantuan SME Corp.

Yang turut hadir, Pengarah SME Corp. negeri, Muhammad Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Datuk Rozali Salleh.

Menurut Ahmad Maslan, bagi tahun ini, kerajaan memperuntukkan geran berjumlah RM2.1 juta melalui TUBE yang dapat memberi manfaat kepada seramai 140 usahawan muda di negeri ini yang benar-benar serius mengusahakan perniagaan.

Katanya, seramai 284 usahawan belia Terengganu menyertai program ini dan berjaya memulakan perniagaan dengan nilai jualan tahunan dijana mencecah RM5.3 juta sejak program ini diperkenalkan.

Menurut beliau, MITI mensasarkan seramai 1,000 bakal usahawan muda Terengganu dilatih sehingga tahun 2020 menerusi program berkenaan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 February 2018 5:49 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: