29 DIS: Bermula 1 Januari depan, proses mengaji pembantu rumah asing (PRA) menerusi menerusi Sistem Maid Online (SMO) hanya mengambil masa lapan hari,
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata prosedur itu membabitkan permohonan oleh majikan termasuk keputusan saringan kesihatan PRA yang dijangka mengambil masa tiga hingga lima hari, manakala proses kelulusan oleh jabatannya mengambil masa maksimum lima hari.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (tengah) memberi penerangan berkenaan sistem Maid Online bagi permohonan untuk mendapatkan pembantu rumah asing di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Ia juga lebih tepat kerana majikan akan memasukkan sendiri maklumat dan perincian peribadi dan PRA yang mahu digaji berbanding oleh ejen sebelum ini, selain kos yang lebih murah iaitu RM1,635 berbanding RM12,000 hingga RM18,000 sebelum ini,” katanya di Putrajaya hari ini.
Pada pembentangan Bajet 2018 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa majikan boleh memohon PRA secara terus atas talian bermula tahun depan.
Pada masa sama, Mustafar berkata majikan boleh menggaji PRA yang berada di negara ini jika tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang aktif dengan majikan lain.
Selain itu, katanya, majikan juga boleh memohon menggaji PRA yang sudah tinggal lebih masa di negara ini iaitu bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini atas Pas Lawatan Sosial.
“Bagaimanapun, tempoh permohonan bagi bakal PRA yang tinggal lebih masa ini hanya akan dibuka untuk tempoh enam bulan saja iaitu dari 1 Januari hingga 30 Jun 2018.
“Majikan perlu mendaftar dalam sistem terlebih dahulu dan akan dirujuk ke Bahagian Penguatkuasa untuk tindakan kompaun dan maksimum kompaun yang dikenakan adalah RM900,” katanya.
Kata Mustafar, bagi majikan yang berhasrat mengambil PRA terus dari negara luar perlu mematuhi syarat, prosedur dan kos yang dikenakan negara berkenaan.
Untuk maklumat lanjut, majikan boleh melayari laman sesawang maid-online.imi.gov.my.